Pro-Mahasiswa
Sejarah
Dunia mahasiswa sentiasa penuh dengan warna warni perjuangan. Sejak zaman penjajahan, hinggalah ke zaman milenium, dunia menyaksikan pergolakan dan suka duka perjuangan golongan anak muda yang penuh dengan idealisme dan semangat bergelora.
Mahasiswa sememangnya golongan yang sakti. Mahasiswa itu orang muda, yang panas darahnya, yang laju langkahnya, yang tajam lihatnya. Dan lebih hebat lagi orang muda itu pula bergelumang dengan ilmu pengetahuan. Maka paduan orang muda dan ilmu pengetahuan ini telah menghasilkan satu golongan manusia yang sakti.
Universiti Malaya, ditubuh pada 1949 di Singapura, merupakan universiti tertua di Malaysia. Kampus Kuala Lumpur, yang mana merupakan kampus induk UM hingga kini, ditubuh pada 1957 dengan bilangan pelajar serama 285 orang yang merupakan pelajar aliran sastera kampus Singapura.
Menjadi universiti pertama, UM menyaksikan lahirnya gerakan mahasiswa yang menggugat kebobrokan pemerintah. Nama-nama seperti Syed Hamid Ali, Anwar Ibrahim, Hishamuddin Rais, Khong Kim Hoong, merupakan contoh pemimpin mahasiswa yang bangkit memperjuangkan isu-isu rakyat.
Isu-isu perjuangan mahasiswa tidak hanya berlegar pada isu yang melibatkan mereka saja. Menjadi jurubicara rakyat, banyak isu seperti kemiskinan, demokrasi dan budaya telah menjadi tema perjuangan mahasiswa. Kemuncak perjuangan mahasiswa adalah ketika berlakunya rusuhan Baling. Selepas peristiwa Baling, ramai yang berpendapat mahasiswa tidak lagi berkuku, ditambah dengan cengkaman akta zalim AUKU (Akta Universiti & Kolej Universiti) yang berkuat kuasa sejak 1971.
Reaksi Terhadap Kebangkitan Mahasiswa
Menyedari betapa hebatnya pengaruh gerakan mahasiswa kepada pengaruh politik mereka, kerajaan akhirnya menggubal AUKU pada 1971. Ini adalah rentetan dari kekuatan pengaruh yang dimiliki mahasiswa hingga mereka berjaya mempengaruhi pola pengundian pada Pilihan Raya Umum 1969.
Walaupun dicengkam AUKU, mahasiswa tetap bangkit bersama golongan marhaen. Maka pada 1974, ribuan mahasiswa berdemonstrasi menuntut pembelaan terhadap golongan petani Baling yang menderita akibat penurunan harga getah. Akhirnya, sekali lagi, kerajaan mengukuhkan lagi cengkaman mereka dengan meminda AUKU pada 1975 untuk menjadikannya lebih berkuku.
Malah lebih malang lagi, mahasiswa juga telah disekat dari menzahirkan kebencian mereka terhadap entiti haram Israel seperti peristiwa berdarah di Masjid ar-Rahman yang menyaksikan mahasiswa-mahasiswa Islam diperlakukan dengan kasar semata kerana tidak mahu melihat kewujudan entiti haram Israel di bumi Malaysia.
UIAM juga turut menerima tempias sekatan ini apabila pada tahun 2001, tiga mahasiswa UIAM dikenakan tindakan kerana membantah akta zalim ISA.
Persoalan
Melihat pada reaksi kerajaan terhadap aksi mahasiswa menyebabkan kita terfikir, adakah seorang mahasiswa itu tidak layak atau tidak boleh untuk membela nasib golongan miskin semata kerana nama mereka mahasiswa?
Sebagai seorang rakyat yang terpelajar, sudah tentu mahasiswa merasa terpanggil untuk bersama rakyat bawahan. Bukankah ini menunjukkan mahasiswa punya rasa prihatin terhadap persekitaran mereka?
Seperti kata saudara Ridhwan bin Alias, “Pelajar sebagai golongan intelektual perlu bersikap pemberani yang berlandaskan ilmu dan pengalaman yang dijernihkan oleh kebenaran yang diyakini bukannya bersikap surealis; bersuara kuat untuk meruntuh dan menghancur tanpa penciptaan dan pembinaan semula. Seorang revolusioner mengharapkan jiwa tertekan kerana dengan itulah dia akan bangun untuk mengantikan penindas-penindas.”
Penutup
Meneliti sejarah perjuangan mahasiswa, adalah menyedihkan apabila berlakunya penentangan dan sekatan terhadap aktivisme mahasiswa. Mahasiswa seharusnya diberikan kebebasan untuk menggerakkan seluruh jasad mereka untuk membela golongan bawahan. Ya, mungkin cara mereka kadang-kala agak keras. Tapi itu lah semangat seorang anak muda. Malah Tun Razak pernah berkata;
“Jikalau kita tinjau belakang semasa kita masih menuntut, tentulah kita dapat melihat perkara itu dari sudut yang betul”
Sekian, Wallahua’lam. STUDENT POWER!
0 comments:
Post a Comment