Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

Labels

Labels

Recent Posts With Thumbnails v3

Recent Posts With Thumbnails v3

Recent Posts With Thumbnails v3

Recent Posts With Thumbnails v3

Recent Posts With Thumbnails v3


I made this widget at MyFlashFetish.com.

28 October 2009

GAMIS : BAJET 2010 HARUS MENJURUS KE ARAH MENGATASI MASALAH PENGANGGURAN SISWAZAH MALAYSIA

Assalamualaikum & salam mahasiswa ,

Ucapan bajet bagi tahun 2010 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan di Dewan Rakyat pada 23 Oktober 2009 lepas mengundang pelbagai respon serta reaksi rakyat tanpa mengira lapisan. Ada yang gembira ketika bajet ini dibentangkan malah tidak kurang juga ada yang sedikit kecewa dengan peruntukan-peruntukan yang diumumkan.

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) selaku gerakan mahasiswa yang membawa suara mahasiswa Malaysia menyambut baik terhadap tiga strategi bajet bagi tahun 2010 yang bertemakan “1Malaysia, Kemakmuran Bersama” yang telah dibentangkan oleh Y.A.B Perdana Menteri baru-baru ini. Semasa pembentangan tersebut, beliau telah menyatakan bahawa bajet pada kali ini memberi fokus kepada mendahulukan kesejahteraan rakyat dan mengutamakan pencapaian matlamat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) supaya ianya selaras dengan kewujudan gagasan 1Malaysia.

Namun demikian, pihak GAMIS sedikit kecewa kerana bajet ini dilihat masih tidak mampu untuk mengatasi masalah pengangguran graduan Malaysia yang semakin meruncing. Kita melihat tiada plan tindakan khusus yang disusun bagi mengatasi masalah ini. Mengikut maklumat dan data dari Jabatan Statistik Negara didapati jumlah siswazah yang menganggur di Malaysia sehingga tahun 2008 adalah dalam sekitar 80,000 orang yang mana mewakili 13 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia yang menganggur.

Jumlah ini mengalami peningkatan berbanding pada tahun 2006 sehingga 2007, jumlah siswazah menganggur adalah sekitar 60,000 orang. Dalam pada itu dikatakan jumlah belia dan graduan Melayu yang menganggur adalah lebih tinggi kerana mereka dikatakan kurang kepakaran dan kemahiran. Isu pengangguran di kalangan siswazah bukanlah satu isu yang baru di Malaysia. Tahun demi tahun masalah ini pasti berulang dan kadar peningkatan ini menjadi beban kepada kerajaan dan masyarakat.

Di Malaysia, kita masih lagi tercari-cari kaedah terbaik untuk mengatasi masalah graduan menganggur. Persoalan yang timbul tidak dapat tidak mesti dikaitkan dengan teori ekonomi klasik iaitu penawaran dan pembekal. Lebih mudah, jika ada permintaan atau penawaran, sudah pasti ada pihak yang akan memberikan bekalan. Daripada angka statistik pengangguran, tafsiran yang boleh dibuat ialah telah berlaku lambakan bekalan tenaga kerja berbanding keperluan sebenar atau juga disebut penawaran tidak seimbang dengan bekalan.

Kita tidak mahu isu pengangguran siswazah ini hanya dikaitkan dengan teori ekonomi klasik ini semata-mata tanpa ada tindakan khusus dilakukan bagi mengatasi masalah ini. Di era dunia global masa kini, persoalan lebihan atau lambakan tenaga kerja tidak lagi relevan, atau mungkin tidak sepatutnya wujud. Ini kerana sepatutnya tenaga kerja atau individu pencari kerja boleh menawarkan khidmat mereka di mana sahaja di dunia ini.

GAMIS menyatakan pendirian supaya isu graduan menganggur ini dititik beratkan dan seharusnya ia menjadi salah satu daripada cabangan NKRA yang diperkenalkan oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia agar matlamat Penunjuk Prestasi Utama (KPI) dapat dicapai dengan lebih berkesan. Pihak kita berpandangan bahawa di bawah cabang meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan yang terdapat dalam NKRA seharusnya diletakkan strategi khusus yang dilihat boleh membawa ke arah mengurangkan masalah pengangguran siswazah Malaysia.

Ini berasaskan kepada konsep bahawa dalam negara yang pesat membangun, peranan universiti sebagai pusat pengajian bagi membolehkan mahasiswa mendalami serta mengembangkan ilmu pengetahuan, adalah sama penting peranannya sebagai pusat untuk melatih golongan profesional. Pendidikan di universiti bukan sahaja bertujuan menggalakkan perkembangan mental dan rohani mahasiswa, tetapi juga untuk mengasah kemahiran mereka bagi memenuhi tuntutan pekerjaan profesional dan teknikal di kalangan golongan muda dan seterusnya akan menjadi aset kepada pembangunan ekonomi negara.

Dalam hal ini, GAMIS berpandangan bahawa strategi pendidikan yang berkesan perlu diperkasakan di seluruh institusi pengajian tinggi di Malaysia supaya dapat melahirkan graduan yang lengkap dengan pelbagai kemahiran. Justeru itu, peranan pendidikan secara am serta peranan pendidikan tinggi secara khusus dalam memberi latihan ke arah melengkapkan siswazah Malaysia dengan kemahiran dan sikap yang sesuai dengan tuntutan pekerjaan adalah sangat wajar dikaji.

“Kementerian Pengajian Tinggi juga harus menilai semula berkaitan pertumbuhan Institut Pengajian Tinggi terutamanya swasta agar kursus yang ditawarkan benar-benar mengikut keperluan. Asalnya, pertumbuhan pelbagai institusi ini adalah sesuatu yang positif kerana menggambarkan kecenderungan rakyat Malaysia terutamanya anak muda kepada ilmu. Namun, apa yang dibimbangkan ialah pertumbuhanya yang bagai cendawan tumbuh selepas hujan ini seolah-olah menunjukkan pendidikan menjadi barang niaga semata-mata. Hasil daripada system yang tinggi kosnya ini masih gagal melahirkan graduan yang poduktif di samping masih gagal memberikan impak yang sepatutnya kepada kemajuan Malaysia” ujar Presiden GAMIS, Mohd Idris Bin Mohd Yussoff.

Melalui strategi yang kedua, iaitu memastikan pembangunan holistik dan mapan di bawah kata kunci meningkatkan modal insan berkemahiran tinggi, pihak kami menyambut baik langkah kerajaan dalam menjaga kebajikan para penuntut universiti dan juga langkah bagi menggilap kemahiran tenaga kerja supaya menepati keperluan pasaran. Walau bagaimanapun, GAMIS berpandangan bahawa isu peningkatan kadar pengangguran siswazah ini tidak hanya boleh diatasi dengan penuntut-penuntut di setiap IPT diberikan pelbagai kemudahan sebelum dan semasa mereka bergelar penuntut universiti.

Kerajaan perlu mengorak langkah lebih laju ke hadapan dalam mengkaji serta memperkenalkan strategi ‘menjaga kebajikan’ graduan setelah mereka melangkah keluar dari pusat pengajian masing-masing. Ini adalah termasuk usaha kerajaan dalam mengarahkan hala tuju graduan ini supaya dapat mengisi tuntutan pasaran negara agar ianya selari dengan usaha untuk merencanakan golongan muda sebagai agen kepada pembangunan ekonomi negara.

Bagi usaha pihak kerajaan dalam melatih dan menggilap tenaga kerja supaya menepati keperluan pasaran adalah satu langkah yang dilihat bertepatan dengan keperluan konteks masa kini. Namun, setelah diteliti bajet yang diperuntukkan dalam merealisasikan agenda ini hanyalah sekadar menaik taraf, membiayai pengurusan, menyelenggara, mengiktiraf sijil kemahiran dan membina institusi-institusi teknikal semata-mata. Perkara-perkara ini telah pun dilaksanakan secara berperingkat dalam strategi peningkatan ekonomi yang lepas, tambahan pula ianya telah disentuh dalam pembentangan bajet bagi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) yang lepas.

Biarpun dilaksanakan secara berperingkat, seharusnya kita menarik nafas lega jika sekiranya kadar pengangguran graduan dapat diturunkan. Kita masih belum melihat bahawa kaedah ini dapat mengurangkan kadar peningkatan pengangguran di kalangan graduan Malaysia.

Pihak kami menyarankan agar peruntukan yang diberikan kepada institusi-institusi kemahiran ini tidak sekadar bertumpu kepada proses menaik taraf dan penyelenggaraan semata-mata. Kita maklum bahawa peruntukan ini adalah untuk menarik golongan muda termasuk golongan siswazah untuk mengikuti latihan-latihan yang telah disediakan di pusat-pusat latihan tersebut. Namun, GAMIS berpendapat bahawa perlunya kepada keperluan terhadap menstrategikan kepakaran dan kemahiran yang dapat digilap daripada golongan anak muda ini supaya dapat bersaing untuk memenuhi kehendak pasaran global agar masalah pengangguran graduan dapat diatasi.

Besar harapan di pihak GAMIS agar strategi yang dibentangkan dalam Bajet 2010 ini dapat diperhalusi lagi kaedah dan langkahnya supaya ianya dapat mengatasi masalah pengangguran di kalangan siswazah Malaysia dengan sekurang-kurangnya ia tidak mengalami peningkatan. Biarpun faktor pengangguran graduan ini berpunca dari banyak sebab namun, GAMIS melihat strategi pembangunan ekonomi yang dibentangkan melalui bajet ini harus menjadi ‘tepukan sedar’ bagi pihak kerajaan khususnya dan rakyat Malaysia amnya dalam memahami implikasi dasar yang penting terhadap usaha-usaha merencanakan mahasiswa sebagai agen pembangunan ekonomi negara.

Disediakan oleh,

SETIAUSAHA AKHBAR / MEDIA,
PRESIDEN,
GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA,
(GAMIS)

...............................................................................................................................
Dipetik dari http://tintaduat.blogspot.com/2009/10/gamis-bajet-2010-harus-menjurus-ke-arah.html

PRO-M FOR ALL

26 October 2009

Buat Mahasiswa Islam, Belajar Untuk Kritik Bajet 2010 Sebelum Kritik Cadangan EGM PAS

Assalamualaikum & salam mahasiswa ,
Oleh : Muhamad Syaari bin Ab. Rahman

"Inilah konsep kepimpinan yang diserlahkan juga oleh dari Nabi Allah Yusuf alaihissalam. Baginda tahu benar permasalahan yang bakal berlaku 7 tahun kedua selepas 7 tahun pertama kesenangan menimpa rakyat negara Mesir. Lantas keupayaan, idea “problem-solving” dan kepakaran pengurusan ekonomi yang ada pada baginda hasil anugerah Allah S.W.T, baginda menawarkan diri menjadi pemimpin ekonomi Mesir. Sejarawan menyatakan Nabi Yusuf menerima jawatan Menteri Kewangan Mesir pada usia 24 tahun !" (link)

Saya tidak pasti berapa kerat mahasiswa Islam yang berminat untuk mengambil tahu isu-isu sekitar pembentangan sulong "RM191.5 bilion Bajet 2010" oleh PM Najib Razak pada 23 Oktober lepas. Anda sendiri boleh melihat di blog-blog mahasiswa, berapa ramai yang menyinggung isu Bajet 2010.

Yang saya yakin, isu cadangan EGM PAS dari Mursyidul Am PAS - semacam "luka lama berdarah kembali" - akan lebih menjadi bualan hangat para aktivis gerakan Islam kampus berbanding isu Bajet 2010, sama ada di alam bloggers mahupun di kedai kopi.

Lebih mengecewakan lagi apabila ada yang ditanya apakah isu-isu penting sekitar Bajet 2010 - sama ada anda sokong atau anda bangkang isu itu, maka yang dijawabnya "maaf ustaz, tak sempat baca lagi...", atau lebih mengkagumkan lagi, "tak tahulah ustaz..mereka tu kerajaan sekular...peduli apa.."

Kekadang sedih mengenangkan bukan sekadar tahap kecaknaan isu-isu kenegaraan yang tidak diambil peduli oleh segelintir ahli gerakan mahasiswa Islam, lebih dari itu sistem pendidikan gerakan itu sendiri tidak menyediakan suasana yang rancak dan menghairahkan untuk ahli mahupun pimpinan membincangkan ataupun sekurang-kurangnya terdedah - sama ada dengan rela mahupun paksa demi perubahan paradigma - mengenai isu-isu semasa kenegaraan sepenting pembentangan Bajet 2010.

Yang pelik, bila ditanya, apa tujuan berada dalam gerakan mahasiswa Islam ini, maka dengan penuh keyakinan dan retorik, "untuk memperjuangkan wujudnya sebuah negara Islam di bumi ini". Namun apabila ditanya lagi, bagaimana sifat negara itu, apakah bentuk dan polisi kenegaraannya dalam konteks Malaysia, jika anda sebagai Perdana Menteri dari gerakan Islam, apa yang akan anda tawarkan pada rakyat Malaysia, maka semesta alam menyaksikan kebanyakannya akan membisu seribu bahasa.

Demikianlah saya menggambarkan seketika sindrom pemikiran 'simplistik' segelintir mahasiswa Islam. Ia hanya mendedahkan karakter sebenar mereka yang selama ini diharapkan untuk menjadi pemimpin masa depan gerakan Islam "government in waiting" pada masa akan datang. Malangnya, mentaliti "jaguh kampung" dan berjiwa kerdil, masih mengarati pendekatan kaderisasi sesetengah ahli gerakan Islam di kampus.

Lemahnya penguasaan maklumat mengenai pergerakan musuh adalah suatu ancaman kaderisasi tarbiyah yang semestinya diambil berat oleh kilang gerakan mahasiswa Islam. Izinkan saya memetik kata-kata terbaru Ustaz Hasrizal apabila beliau menyinggung masalah "komunikasi" yang memunca kepada berulangnya perselisihan pandangan secara terbuka antara dua jalur pemikiran dalam PAS :

"Apakah ini petanda yang PAS masih belum memfakihkan diri dengan bentuk peperangan semasa yang dirinya sedang berada? Bahawa peperangan hari ini adalah peperangan maklumat. Kegagalannya menguasai maklumat bererti mereka berperang tanpa senjata, atau masih berkeris ketika peluru berpandu menembak jauh dari ribuan batu...Era perang digital, jangan lagi membawa sikap analog yang membinasakan." ("Berubahlah Untuk Memimpin Perubahan")

Mungkin inilah juga yang dimaksudkan oleh saudara Faridzul Nasarudin mengenai agenda awalnya iaitu "mental reform" (klik point ucapan dasarnya sempena AGM MC baru-baru ini di sini) yang belum mampu beliau lakukan sepenuhnya sepanjang memandu Ma'ruf Club dan seluruh pendukungnya menuju reformasi membanteras "the captive mind" yang wujud pada mahasiswa di UIAM dan juga para pendukung MC itu sendiri.

Pada kesempatan ini, saya ingin menyarankan kepada seluruh pimpinan gerakan mahasiswa Islam supaya mengadakan diskusi Bajet 2010 kepada ahli-ahli. Jika ahli merasakan upaya minda mereka belum bersedia untuk terdedah kepada isu-isu kenegaraan ini, tidak mengapa, sekurang-kurangnya golongan pimpinan yang melakukannya, samada ada secara kecil-kecilan mahupun secara kelompok yang lebih besar.

Antara flow yang boleh saya sarankan :

1. Jemput penganalisis ekonomi - atau mereka yang mengkaji Bajet 2010 secara mikro - pada masa yang sama 'dekat' dengan dunia gerakan Islam untuk memberikan komentar atau ulasan sekitar Bajet 2010. Rakan saya seperti saudara Mior Isfandy antara figura bekas aktivis mahasiswa yang sangat sesuai untuk dihubungi kerana beliau pernah bergelumang dalam dunia pasukan ekonomis gerakan Islam ini. Sementalahan, beliau masih segar bugar mempunyai darah anak muda dan idealisme kemahasiswaan (the third voice).

Terangkan apakah yang dimaksudkan dengan "Bajet", apakah kepentingan dan kedudukannya dalam sesebuah kerajaan yang memerintah, apakah hubungkaitnya dengan para pemimpin masa depan gerakan Islam pada masa akan datang.

Pernyataan "end in mind" ini penting supaya peserta tidak mengantuk di awal perbincangan. Pastikan alat bahan bantu seperti LCD wajib disediakan dengan memaksimumkan otak kanan lebih dari angka-angka Bajet yang memeningkan.

Jika mampu, sifu yang dijemput mampu membaca Bajet 2010 dengan tersurat dan tersirat.

2. Sarankan ahli ataupun usrah melakukan 'assignment' masing-masing sebelum diskusi dimulakan.

Ahli disarankan melayari blog-blog atau membaca akhbar-akhbar alternatif yang memberikan komentar kritis kepada Bajet 2010, sama ada pro mahupun kontra kepada kerajaan. Ataupun bertemu dengan pensyarah-pensyarah masing-masing yang difikirkan boleh memberikan pandangan mengenai Bajet 2010.

Jika tidak boleh menyinggung semua bahagian dalam Bajet setebal 55 mukasurat itu, jangan tinggalkan semua. Sekurang-kurangnya isu yang bersangkut paut dunia anda sendiri iaitu sektor pelajaran dan pendidikan tinggi.

3. Kenalpasti dan rancakkan sesi Q & A dengan isu-isu panas sekitar Bajet 2010.

Tak perlu banyak bertanya kepada pembentang, tetapi berikan pandangan kritis yang tidak diberikan oleh pembentang.

Adalah malang jika mahasiswa melihat Bajet ini sama seperti rakyat awam yang terpukau dengan terma-terma 'populis' Najib, sedangkan mahasiswa seharusnya melontarkan beberapa persoalan "blind spots" di sebalik tabir Bajet 2010 seperti :

- Beban hutang kerajaan Pusat yang mencecah 52.4% dari KDNK tahun 2009 melonjak dari 41.5% tahun 2008. Kenapa ?

- Perbelanjaan mengurus sebanyak RM138.3 bilion adalah penurunan sebanyak 13.7% dari tahun lalu (RM160.2 bilion, 2008). Tetapi belanja pembangunan mengalami penurunan sebanyak 4.4% atau RM 51.2 bilion berbanding RM 53.6% pada tahun 2008 ! Kenapa ?

- 43.5% pendapatan negara masih dari sumber minyak mentah (sumber asli) dan ini adalah pendekatan 'conservative economy'. Kenapa terus dengan pendekatan ini ?

- Pendapatan per kapita negara ini hanya RM15,819 setahun berbanding negara seperti Singapura atau Korea Selatan atau Taiwan yang 3 atau 4 kali ganda. Kenapa jadi begini ?

- Ke manakah bajet perkhidmatan pengangkutan awam dalam Bajet 2010 sedangkan dalam bajet tahun lalu Pak Lah mengadakan satu peruntukan RM35 billion selama lima tahun dari 2009 sehingga 2014 ?

- Kenapa kerajaan hanya mengenakan caj RM10 ribu untuk satu sijil Kelulusan Permohonan (AP) berbeza sedikit berbanding harga pasaran sebenar sekitar RM40-50 ribu? Wujudkah hidden agenda ?

- Cukupkah peruntukan RM 6 bilion bagi sektor pertanian ketika catastrophy masalah pemakanan global sedang diramalkan pakar-pakar mikro ekonomi akan menjadi lebih 'menakutkan' pada masa akan datang ?

- Ketiadaan peruntukan kepada sektor pertahanan pasca Bagan Pinang. Inikah hadiah' undi tentera yang memenangkan BN ?

- Ancaman kapitalisme dan utilitarianisme ke atas menara gading di Malaysia ? Kerajaan membenarkan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menjana hasil pendapatan sendiri agar dapat mengurangkan kebergantungan kewangan IPTA kepada kerajaan.

- Apa yang dimaksudkan ancaman ekonomi masa depan berbentuk "W-recovery", bukan "V-recovery" ?

- Kajian World Economic Forum menyatakan Malaysia lucut 3 anak tangga. Kenapa ?

- Kenapa setiap kali pembentangan Bajet oleh kerajaan BN, tidak ada paparan lebih awal kepada rakyat - khususnya dengan kemudahan internet - seperti yang dilihat di negara maju ?

Sudah pasti pelbagai persoalan dan kritikan boleh dibincangkan dan disinggung.

3. Meresolusikan akhir diskusi bahawa jika gerakan Islam memerintah Malaysia tidak lama lagi, apakah kerangka jelas Bajet "Negara Islam" - yang diharapkan berbeza dengan jelas dengan Bajet kerajaan BN-Umno - yang akan diumumkan dan dinantikan oleh seluruh rakyat Malaysia, muslim dan non-Muslim. Siapa yang perlu menjadi pasukan ekonomis dan pasukan pemikir tersebut dari sekarang ?

Tidak perlu menjadikan diskusi ini seperti kuliah subjek ekonomi yang mungkin berpotensi untuk tidak 'manusiawi' dengan mahasiswa yang bukan jurusan ekonomi.

Apa yang saya maksudkan dari diskusi ini bukanlah mahasiswa menekuni angka-angka memeningkan kepala yang dibentangkan PM Najib, ataupun dipaksa memahami istilah-istilah ekonomi seperti KDNK, ekonomi 'makro', FDI, "bail-out", dan sebagainya yang mungkin memberatkan minda bagi sesetengah aktivis yang tidak biasa dengan diskusi berat.

Cukup mendapat gambaran bagaimana sebuah kerajaan yang menerima mandat rakyat, mengagih-agihkan kekayaan kepada rakyatnya secara adil, dan sejauhmana perancangan dilakukan bagi berhadapan dengan cabaran ekonomi negara di masa depan.

Sememangnya mudah untuk menyatakan "kerajaan BN-Umno adalah kerajaan yang sekular" dan kemudian full-stop. Namun, seharusnya kita tidak mensia-siakan kelebihan pasukan ekonomis, kompetensi dan pengalaman puluhan tahun mereka mentadbir negara yang diserlahkan dalam dokumen 55 mukasurat Bajet 1Malaysia tersebut.

Kajilah kekuatan musuh dan binalah persiapan untuk mengatasi kekuatan mereka.

PAS beruntung kerana pada saat ini mempunyai figura ekonomis seperti Dr Dzulkifli Ahmad manakala PR secara keseluruhannya mempunyai figura mantan Menteri Kewangan termuda dalam sejarah politik Malaysia, DSAI. Namun, mereka adalah pemimpin pada hari ini, soalnya siapa yang menjadi klon mereka pada masa akan datang ?

Masihkah gerakan Islam pada masa akan datang bertongkatkan seorang dua batang tubuh atau lebih baik kita mulakan membina pasukan kepimpinan muda berwibawa pada saat ini yang walaupun mereka bukan jurusan ekonomi sekalipun, namun sekurang-kurangnya mempunyai jiwa yang sensitif dengan isu-isu ekonomi negara.

Saya juga menyarankan anda membaca tulisan saudara Rausyanfikir yang turut sama menyinggung soal persiapan PAS dan kader-kader gerakan Islam dalam suasana "battle of ideas" pada saat ini. Lihat di sini

Firman Allah : "Dia (Yusuf) berkata: Agar kamu bercucuk tanam tujuh tahun (berturut-turut) sebagaimana biasa; kemudian apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan pada tangkainya kecuali sedikit yang kamu makan. Kemudiansetelah itu akan datang tujuh (tahun) yang sangat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit), kecuali sedikit dari apa (butir gandum) yang kamu simpan." (Surah Yusuf: 47-48)

.....................................................................................................................
Dipetik dari http://rijal82.blogspot.com/2009/10/buat-mahasiswa-islam-belajar-untuk.html
Penulis merupakan mantan Setiausaha Agong GAMIS .

PRO-M FOR ALL

19 October 2009

Dan kini masanya memilih pemimpin…

Assalamualaikum & salam mahasiswa ,

Oleh: Mohd Idris b. Mohd Yussoff

Allah s.w.t mewajibkan setiap daripada kelompok manusia itu dipilihnya pemimpin yang boleh memandu masyarakatnya ke arah kebaikan dan kesejahteraan. Pemimpin akan dipersoalkan serta dipertanggungjawabkan atas apa yang dilakukan terhadap rakyat di bawahnya. Ini ditegaskan dalam hadith Nabi s.a.w:
Apabila keluar tiga orang diantara kamu, maka (hendaklah) dipilihnya dikalangan mereka seorang pemimpin (ketua).

Dalam kewajipan itu, aspek pemilihan kepimpinan dan kriterianya sangat perlu diambil kira dengan penuh teliti. Para ulama menegaskan dalam konsep usul fiqh:
Apa yang tidak sempurna sesuatu kewajipan itu, melainkan dengan melakukan sesuatu perkara itu, maka perkara itu turut menjadi wajib

Justeru itu, pemimpin itu wajib dipilih, dan apa sahaja usaha ke arah memilih kepimpinan turut menjadi satu kewajipan. Dalam pada ini, jika di kampus dan universiti, medan Pilihan Raya Kampus (PRK) adalah landasan yang terbaik memilih kepimpinan.

Pemimpin? – caranya apa?

Islam tidak menghalang apa jua yang baik, selagi mana ia tidak bercanggah dengan prinsip dan peraturan yang ditetapkan. Oleh itu, medan pilihan raya adalah satu medan penting dan sesuai memilih dan menilai siapakah pemimpin yang baik untuk dipilih.
Konsep jarh wa ta’dil (kritik dan analisis) kepada batang tubuh pemimpin digalakkan dalam Islam. Supaya pemimpin ini boleh bekerja dengan baik dan amanah tatkala ia diberikan jawatan oleh rakyat yang memilihnya.

Rakyat ada hak untuk mengetahui siapakah yang bakal memimpinnya. Dan orang yang dipilih juga mempunyai hak untuk memilih sesiapa sahaja yang dirasakan mengikut pengamatan mereka adalah baik dan boleh bekerja untuk mereka. Dan hak ini diberi kebebasan oleh Islam malah juga dalam perlembagaan Malaysia.

Sistem E-Undi : Membunuh Hak Memilih Pemimpin

Apakah maknanya satu sistem yang dikendalikan oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan dan diragui integriti. Seperti Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sebagai satu badan yang tidak menyebelahi mana-mana pihak, mereka tidak boleh bertindak seperti menyokong satu pihak tertentu dan menyalahi pihak yang lain.

Begitu juga dengan hakim di mahkamah yang memutuskan sesuatu keputusan.
Apakah wajar satu sistem pilihan raya kampus atau lebih dikenali sebagai medium demokrasi kampus untuk para mahasiswa memilih kepimpinan ditentukan oleh hanya dua atau tiga orang yang memegang sistem tersebut?

Adakah adil seandainya orang lain yang menentukan pemimpin yang perlu kita ikuti? Adakah dinamakan demokrasi dan keadilan Islam sekiranya kita dipaksa untuk memilih satu-satu individu tertentu untuk menjadi orang yang akan memandu kehidupan kita kelak?
Jika begitu, bagaimanakah pula pemimpin yang lahir daripada sistem-sistem tersebut?
Keadilan, Ketelusan dan Kepimpinan

Soal pemimpin bukan persoalan main-main dan boleh disembangkan di kedai-kedai kopi. Betapa pentingnya kepimpinan ini boleh diambil pengajaran daripada peristiwa kewafatan Rasulullah s.a.w.

Sejurus Rasulullah s.a.w wafat, belum pun disemadikan jasadnya, para sahabat terus mengadakan pertemuan tergempar untuk membahaskan siapakah pemimpin yang bakal menggantikan Rasulullah sebagai khalifah kelak. Apakah para sahabat sudah tidak sempat-sempat memilih pemimpin sehinggakan tidak menghormati kematian Rasulullah?(Rujuk Kitab: Fiqh Sirah karangan Dr Said Ramadhan Al-Buthi)

Pandang ke hadapan, hadapan dan terus ke hadapan

Pandanglah kehadapan dan bagaimana generasi-generasi yang bakal lahir daripada penciptaan sistem-sistem yang tidak berlandaskan keadilan. Saya yakin ini bukan persepsi yang memutar kembali jam ke belakang, seolah tidak menerima kemajuan dan kemodenan kerana saya yakin Islam tidak sekali-kali menolak kemajuan dan malah sentiasa mendepaninya.
Malah penilaian ini juga bukan sahaja kepada yang melahirkan sistem ini, bahkan pengundi yang amanah dan sedar akan kepentingan memilih kepimpinan yang baik, turut bertanggungjawab mengubah sistem ini dengan kuasa yang ada di tangan mereka.

........................................................................................................................

*Penulis ialah Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se Malaysia (GAMIS). Mahasiswa UKM ini banyak memberi inspirasi baru kepada gerakan mahasiswa Islam menuju setapak ke hadapan.


Dipetik dari :

http://mahasiswakini.com/archives/4554


PRO-M FOR ALL

16 October 2009

1Melayu Pula

Assalamualaikum & salam mahasiswa ,

Berita Harian , 16 Oktober 2009 .


Umno Perlis cadang gagasan 1Melayu


KUALA LUMPUR: Wakil Umno Perlis, Ahmad Bakri Ali mencadangkan penubuhan gagasan 1Melayu bagi memupuk kembali perpaduan orang Melayu yang berpecah berikutan keadaan politik semasa.

Beliau berkata, keputusan pilihan raya umum Mac tahun lalu menunjukkan perpecahan dikalangan orang Melayu semakin serius.

"Gagasan 1Melayu tidak pernah wujud berbanding orang Cina dan India yang mempunyai gagasan mereka sendiri. Inilah masalah orang Melayu yang asyik berkelahi.


"Politik Melayu kini berpecah kepada empat bahagian, iaitu golongan nasionalis yakni Barisan Nasional (BN), golongan yang mendakwa Islamik kononnya iaitu Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan berkecuali," katanya ketika membahas ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Mutakhir/20091016113207/Article
____________________________________________________________________

Apakah sebenarnya dasar yang diletakkan oleh UMNO dan BN ? Semangat kebangsaan Melayu dilihat semakin kuat . Perlukah diwujudkan 1Melayu atau cukup dengan 1Malaysia ?

Diharap tidak mencetuskan kembali peristiwa beradarah
13 Mei 1969 yang berpunca daripada isu perkauman .

PRO-M FOR ALL


13 October 2009

Dik...kenapa UIA ni mengarut?

Assalamualaikum & salam mahasiswa,

Pak Cik : Dik , ais krim satu...
Penjaga Gerai : Ok pak cik...jap eaa...
Pak Cik : Dik , kenapa UIA ni mengarut sangat...
Penjaga Gerai : ?????????(terpaku seribu bahasa)


Beberapa hari ini , UIA digemparkan dengan beberapa konsert yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Program Stabaz (Stall & Bazar) anjuran Entrepreneurship Club of IIUM . Apa yang sedih , SRC (MPP) pula yang dihentam pelajar .

Apabila ditanya sendiri kepada Presiden SRC , beliau sendiri mengaku bahawa program tersebut bukan di bawah pantauan Program CONVEST (Convocation Festival) yang dianjurkan oleh SRC. Kerana kelab tersebut berhubung terus dengan S-DEV . Jadi , kesimpulan mudahnya Stabaz tersebut di bawah pantauan pentadbiran UIAM .

DI MANAKAH MISI-MISI UIAM???

Gambar-gambar tersebut pula adalah gambar semasa konsert IIUM Band yang terdiri daripada beberapa kumpulan .

Kepada yang bertanggungjawab , di manakah maruah UIAM yang merupakan Universiti Islam ?

Wallahua'lam .

PRO-M FOR ALL

12 October 2009

Tahniah ISA SAMAD

Assalamualaikum & salam mahasiswa.Lebih kurang jam 8pm pada 11 oktober 2009, ahad telah diumumkan bahawa calon BN, Isa Samad telah memenangi pilihanraya kecil bagi Dun N31 Bagan Pinang dengan majoriti besar, 5, 435 undi.

Tahniah diucapkan kepada Isa Samad kerana dapat menebus maruah BN setelah kalah beberapa kali di dalam pilihanraya kecil sebelum ini. Semoga dengan kemenangan ini beliau dapat meneruskan agenda-agenda untuk membantu dan menjaga kebajikan rakyat selaras dengan konsep Satu Malaysia.

Takziah juga diucapkan kepada beliau kerana dengan kemenangan ini maka bertambahlah tanggungjawab dan amanah beliau. Semoga Allah membantunya dalam gerak kerja beliau serta memberi petunjuk ke jalan yang lurus.

Kepada saudara Zulkefly Muhammad Omar selaku Pesuruhjaya PAS yang gagal meraih kemenangan, diharap beliau tidak berputus asa untuk terus berjuang untuk menegakkan keadilan rakyat. Beliau mungkin perlu berusaha lebih keras lagi untuk memenangi hati rakyat Negeri Sembilan.

Semoga kemenangan berpihak kepada kebenaran.

PRO-M FOR ALL

03 October 2009

Muqaddimah

Assalamualaikum & salam mahasiswa,

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana segala nikmat yang diberikanNya kepada kita khususnya nikmat Islam dan Iman yang bukan kepada semua manusia yang mendapatnya. Salam dan selawat ke atas junjungan agung Nabi Muhammad S.A.W , semoga kita dipertemukan dengan baginda di akhirat sana nanti dan memperoleh syafaat daripada baginda .

Sekali lagi diucapkan syukur kepadaNya yang memberikan keizinan untuk pertama kalinya blog ini diwujudkan . Blog 'Pro-Mahasiswa UIAM' ini adalah satu wadah bagi membawa suara mahasiswa di peringkat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia khususnya untuk terus menegakkan kebenaran dan keadilan .

Diharapkan kepada semua pihak untuk sudi melawat blog ini tanpa jemu dan berkongsi maklumat bersama-sama kami untuk paparan umum demi kebenaran . Anda dialu-alukan untuk berkongsi maklumat dengan kami di promuiam@yahoo.com .

Kami berharap semua pihak mendapat manfaat dengan kewujudan blog ini . Semoga Allah mempermudahkan gerak kerja kita semua .

PRO-M FOR ALL