Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

Labels

Labels

Recent Posts With Thumbnails v3

Recent Posts With Thumbnails v3

Recent Posts With Thumbnails v3

Recent Posts With Thumbnails v3

Recent Posts With Thumbnails v3


I made this widget at MyFlashFetish.com.

31 October 2011

Facebook Digodam, Cubaan Menyekat Kemaraan Mahasiswa

Assalamualaikum & salam mahasiswa,

GOMBAK,30 Oktober 2011-Akaun facebook milik Pro-Mahasiswa (WUFI) UIAM telah digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kejadian itu telah disedari oleh salah seorang anggota kumpulan yang berjuang bagi menegakkan hak-hak mahasiswa di UIAM petang semalam.

Menurut Pengerusi Pro-Mahasiswa (WUFI) UIAM, Muhammad Hafizuddin MN, "Motif sebenar penggodaman tersebut disyaki untuk menyekat kebangkitan mahasiswa dan cuba untuk memecah belahkan gerakan mahasiswa. Tindakan ini dilihat mahu memberi tekanan kepada Pro-M daripada terus memperjuangkan isu Prof Abd Aziz Bari".

"Kami tetap serius dan istiqamah dalam memperjuangkan isu kebebasan akademik walau apa ancaman sekalipun yang pihak kami terima. Kami berharap mahasiswa dan masyarakat seluruhnya tidak termakan dengan sebarang provokasi dan tohmahan yang dilemparkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab"ujarnya.

Tindakan ini juga dipercayai ada kaitan dengan 'tangan jahat' yang sering menggangu bermula daripada isu Ustaz Azhar Idrus, penafian Presiden MPP dalam rancangan HUJAH TV9 dan Prof Abd Aziz Bari.

KES UGUTAN TERHADAP PROF AZIZ BARI

Dalam masa yang sama, berita penghantaran peluru ke rumah Prof Aziz agak mengejutkan mahasiswa UIAM khususnya. Tindakan sedemikian sangat bercanggah dengan norma kehidupan manusia.

Mahasiswa UIAM tetap menyokong sepenuhnya perjuangan kebebasan akademik yang dibawa oleh Prof Aziz.

Mengulas isu tersebut, beliau menegaskan, "Kami mengecam sekeras-kerasnya perbuatan menghantar peluru tersebut seolah-olah mahu menakutkan Prof Aziz dalam masa ini".

Sehingga hari ini, pihak UIAM masih belum mengeluarkan sebarang respon selepas menarik balik penggantungan terhadap Prof Abd Aziz Bari.

DARIPADA MAHASISWA UNTUK MAHASISWA

26 October 2011

Munajat Keamanan – “Motivasi Perjuangan Menegakkan Kebenaran”

Assalamualaikum & salam mahasiswa,

Dengan tidak menafikan kekuatan demonstrasi dalam memberi suatu kesan kepada sesuatu isu, ia tetap juga salah satu pilihan daripada pelbagai pilihan yang ada. Paling penting ialah untuk mengambil tindakan yang bertanggungjawab dan bertanggungjawab dengan tindakan. Kedua-duanya bertitik tolak daripada kefahaman dan kesedaran.

Pro-M (WUFI) UIAM merasakan, keputusan SRC untuk mengadakan Munajat Keamanan semalam, walaupun diumumkan melalui Presiden SRC lewat petang, ia adalah suatu tindakan yang tepat, matang dan bertanggungjawab. Hal ini terbukti apabila pengumuman itu disambut dengan sokongan padu oleh mahasiswa UIAM. Kami juga menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan tersebut.

Mengungkap kata-kata salah seorang yang hadir, “Malam munajat keamanan yang diadakan pada malam ini adalah satu malam memotivasikan semangat perjuangan untuk menegakkan kebenaran”. Bersetuju dengan pendapat beliau, kami berbesar hati untuk berkongsi antara perkara yang dinyatakan dalam program tersebut. Antaranya seperti berikut :

Islam menyuruh umatnya menentang sebarang bentuk kezaliman dan kemunkaran. Sekecil-kecilnya dengan membenci di dalam hati sehinggalah kepada sebesar-besarnya dengan memanfaatkan kuasa untuk menegakkan keadilan dan kebenaran. Apa juga caranya, kemunkaran tersebut harus ditentang.

Rasulullah s.a.w. menyeru umatnya supaya membantu orang yang zalim dan orang yang dizalimi. Orang yang zalim dibantu dengan cara diberi nasihat dan teguran, dan jika perlu berdepan dada sekalipun, diizinkan, selagimana tidak mendatangkan mudarat yang lebih besar. Orang yang dizalimi pula dibantu dengan memberi sokongan dan memperjuangkan nasibnya serta mengambil apa juga tindakan supaya tertegak keadilan untuk dirinya.

Nabi s.a.w. telah mengajarkan umatnya dengan suatu doa, “Ya Allah, tunjukkanlah bahawa yang benar itu benar, dan anugerahkanlah kami kekuatan untuk mengikutinya.....”. Ada yang berkata, bukankah telah nyata kebenaran bahawa kebebasan bersuara itu telah diperuntukkan dalam perlembagaan? Ya, itulah apa yang zahir kebenaran disisi manusia. Namun di sisi Allah s.w.t. yang Maha Mengetahui, pelbagai kebenaran lain yang lebih penting dan besar, yang akan Allah s.w.t. tunjukkan kepada hamba-hambanya yang beriman yang berfikir.

Kesatuan atas nama Islam adalah asas perpaduan. Islam menyuruh yang ma’ruf dan mencegah kemunkaran. Menentang kezaliman dan menegakkan keadilan adalah tuntutan amar ma’ruf nahi munkar. Perjuangan menegakkan kebenaran dan menentang kebatilan mestilah dibina dengan kekuatan kesatuan. Tanpa kesatuan, rapuhlah perjuangan.

Selain kesatuan, perjuangan kebenaran mestilah dengan kekuatan jentera. Setiap orang perlu berperanan dan setiap orang bertanggungjawab di posisinya. Di zaman moden ini, agenda penerangan sangat penting. Maklumat yang benar perlu disebarkan dan maklumat yang salah perlu disekat. Asasnya, maklumat-maklumat tersebut mestilah dipastikan dahulu status benar atau salahnya. Untuk itu, pembacaan dan pengkajian daripada pelbagai sumber dan sumber yang diyakini sangat penting. Di sinilah mahasiswa tampil berbeza dengan orang lain, iaitu sikap ‘tabayyun’ dalam menjalankan tugasnya sebagai agen penerangan kepada masyarakat.

Pro-Mahasiswa (WUFI) tetap tegas berpendirian sama dengan SRC dan seluruh warga UIAM, khususnya dalam menuntut pembatalan siasatan terhadap Prof. Aziz Bari.

DARIPADA MAHASISWA UNTUK MAHASISWA

23 October 2011

Justice For Prof Aziz Bari

Assalamualaikum & salam mahasiswa,



Justice For Prof Aziz Bari

Protect Our Academic Freedom

DARIPADA MAHASISWA UNTUK MAHASISWA

21 October 2011

WUFI Kesal Campur Tangan Politik Melampau

Assalamualaikum & salam mahasiswa,


Atas sebab 'memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti', pakar Perlembagaan Malaysia tersohor, Prof Abd Aziz Bari digantung sehingga notis selanjutnya dikeluarkan. Sebelum itu, beliau telah pun menerima surat tunjuk sebab daripada UIAM disebabkan oleh kenyataan kontroversi beliau yang menyentuh institusi Raja-Raja Melayu.

Tamparan hebat telah diterima oleh warga kampus akibat daripada penggantungan yang dibuat. Kebebasan akademik telah dipertikaikan, intelektualisme yang diperjuangkan selama ini telah dicabul begitu sahaja. Apa yang mengecewakan, ahli akademik yang menjadi mangsa.

Pada akhir-akhir ini, campur tangan pihak luar ke dalam pengurusan pentadbiran UIAM dilihat semakin menular. Hal ini bermula dengan isu kehadiran Ustaz Azhar Idrus ke dalam UIA, kemudian sekatan terhadap Presiden MPP dalam program HUJAH TV9 bergandingan bersama Rektor dan kemuncaknya kes Prof Abd Aziz Bari yang diambil tindakan penggantungan dan menyebabkan isu ini mendapat respon daripada pelbagai pihak di peringkat nasional.

Justeru, Pro-Mahasiswa (WUFI) berpendirian:

[1] Mendesak supaya pentadbiran UIA membuat penjelasan terhadap kes ini

[2] Mendesak agar penggantungan terhadap Prof Abd Aziz Bari ditarik balik

[3] Bertegas dengan sebarang campur tangan politik luar ke dalam UIA demi menjaga nama baik institusi 'Taman Ilmu dan Budi'

[4] Memberikan kebebasan bersuara dan kebebasan akademik seluas-luasnya tanpa sebarang kepentingan oleh mana-mana pihak

Kami juga berharap agar sebarang tindakan daripada pihak luar mempertimbangkan kondisi semasa mahasiswa UIAM.

Harapan kami juga agar golongan akademik dan cendekiawan lain bersedia untuk memberi sokongan penuh kepada isu ini.

Dalam berusaha menuntut keadilan untuk semua, di peringkat kepimpinan mahasiswa melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bersama-sama seluruh pimpinan mahasiswa di segenap kelompok sedang mengatur dan melaksanakan perancangan yang terbaik untuk kebaikan semua pihak. Perkara yang paling penting adalah, kita bukan memperjuangkan kebebasan Prof Abd Aziz Bari semata-mata, bahkan isu yang paling besar adalah kebebasan bersuara dan kebebasan akademik.

Pengerusi
Pro-Mahasiswa (WUFI) UIAM

DARIPADA MAHASISWA UNTUK MAHASISWA

20 October 2011

HIMPUN: Satu Pandangan

Assalamualaikum & salam mahasiswa,


Bismillah walhamdulillah,

22 Oktober, seluruh umat Islam diseru untuk menghadirkan diri ke Stadium Shah Alam untuk menyuarakan bantahan terhadap peningkatan kes-kes murtad yang dilaporkan di Malaysia. Keengganan PAS untuk tidak menyatakan sokongan dilihat sedikit sebanyak menempangkan gerak langkah gabungan NGO ini. Walaupun masih lagi dinaungi oleh para NGO yang lain, namun kegagalan menarik PAS turut sama terlibat dalam HIMPUN ini dilihat bakal memberikan impak yang bukan kecil.

Mengapa HIMPUN? Agaknya, apa perasaan kita, selaku orang Islam, tatkala penganut Buddha beramai-ramai berkumpul menyatakan kebimbangan mereka apabila 'murtad'nya penganut Buddha dengan kembali kepada Islam? Apa jeritan hati kecil kita, tatkala para pendokong Hindu, menyuarakan bantahan dengan berkumpul beramai-ramai, mencela penganutnya yang menganut Islam? Soalnya, mana sensitiviti kita terhadap konsep keharmonian agama yang selama ini kita junjung bersama?

Harus diingat, kita sepatutnya gusar, seandainya golongan yang hadir ke HIMPUN hanyalah mereka yang sudah sebati dengan Islam sekaligus meninggalkan puak-puak yang masih hanyut, jauh di belakang. Target mad'u yang dilihat terlalu terbuka seperti ini dilihat menyukarkan perkembangan dakwah yang sepatutnya menjadi titik permulaan bagi membasmi gejala murtad yang kian membarah di bumi ini. Sasaran utama kita haruslah mereka yang masih tidak sedar gejala murtad yang merebak dalam diam, namun, akan datangkah golongan sebegitu dalam perhimpunan seumpama ini?

Usah menuding jari kepada agama lain. Lihat sendiri, apa yang orang Islam laksanakan untuk menyuburi hati-hati orang Islam? Sebenarnya, di mana kita dalam menangani isu murtad? Berapa banyak bajet dalam belanjawan diperuntukkan untuk menangani gejala sosial dalam kalangan anak muda? Berapa program realiti yang menjarakkan manusia dengan nilai-nilai Islam dihentikan? Berapa konsert-konsert hiburan yang berjaya dibatalkan? Sejauh mana dakwah Islam benar-benar konsisten menyirami hati-hati gersang warga Islam di Malaysia? Berapa banyak gerakan dakwah dijana pada peringkat kerajaan? Cukupkah dengan sekadar penganjur Musabaqah Al-Quran saban tahun? Dan, benarkah kita percaya, dengan HIMPUN, barah murtad bakal sembuh? Berapa ramai non-muslim akan kembali pada fitrah mereka, yakni Islam? Berapa ramai pula orang Islam yang sudah murtad akan insaf, dan bertaubat dengan pulang ke pangkuan Islam?

Saya berpendapat idea HIMPUN, adalah cukup baik. Namun, saya bimbang seandainya dengan HIMPUN, persepsi non-muslim terhadap muslim akan lebih buruk. Mungkin jurang antara agama akan wujud dengan lebih besar selepas ini. Dan secara langsung akan memberi kesan kepada usaha dakwah di bumi Malaysia. Pandangan saya, HIMPUN hanya satu cara, dan kita masih punya beraneka alternatif lain bagi menangani gejala murtad seperti ini. Jangan semakin bezakan kita dengan mereka, jika tidak bagaimana mereka akan menuruti kita? Jadi, saya mohon tampil berbeza.

Muhammad Izzat Ghazali
Mahasiswa Undang-undang UIAM

DARIPADA MAHASISWA UNTUK MAHASISWA

17 October 2011

Hudud! Biarkan Kartun Berbicara

Assalamualaikum & salam mahasiswa,



DARIPADA MAHASISWA UNTUK MAHASISWA

03 October 2011

Harapan mahasiswa pada Bajet 2012 - Iqbal

Assalamualaikum & salam mahasiswa,

Terdapat satu harapan yang cukup besar dalam kalangan rakyat untuk mendengar khabar gembira daripada pembentangan Bajet 2012 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober ini oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Kakitangan awam, misalnya, ternanti-nanti ungkapan kenaikan gaji ataupun bonus diungkapkan sendiri daripada mulut Perdana Menteri dalam pembentangan bajet tersebut. Begitu juga dengan sektor-sektor lain yang mengharapkan khabar gembira yang mampu merangsang kembali pertumbuhan ekonomi secara mekar dalam usaha untuk mewujudkan sebuah Negara berpendapatan tinggi.

Secara fokusnya, mahasiswa juga dilihat sebagai salah satu sasaran yang harus diketengahkan dalam pembentangan bajet. Walaupun dalam pembentangan Bajet 2011, sebanyakRM 10.2 billion telah diperuntukkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi, namun dalam konteks realiti mahasiswa, peruntukan tersebut seolah-olah tidak dirasakan kewujudannya dalam bentuk nyata, apatah lagi masalah kenaikan kos sara hidup yang meningkat berpunca daripada keadaan global yang tidak stabil terus-menerus menyebabkan perbelanjaan harian terpaksa dikurangkan terutamanya berkaitan dengan soal makanan, pengangkutan, sewa rumah dan buku-buku pelajaran. Kesannya, terdapat pelajar yang terpaksa bekerja bagi menampung perbelanjaan semasa menyebabkan fokus kepada pelajaran semakin kurang.

Oleh hal yang demikian, suatu strategi yang bersifat jangka pendek dan panjang harus dirangka. Strategi jangka pendek yang bersifat untuk menyelesaikan masalah semasa ialah fokus bagi menstabilkan dan menyelesaikan masalah kenaikan kos sara hidup disebabkan faktor global, manakala strategi jangka panjang pula adalah untuk menstabilkan rantaian dalam konteks masyarakat secara makro.

Dari sudut strategi semasa, yang bersifat jangka pendek iaitu sepanjang tempoh pengajian mahasiswa, masalah yang terpaksa dihadapi oleh golongan ini adalah masalah peningkatan kos sara hidup yang bersifat semasa merangkumi keperluan asas seorang pelajar termasuklah makanan, pengangkutan serta buku teks. Suatu inisiatif perlu diikhtiarkan dalam usaha untuk mengatasi masalah ini. Antara perkara yang dicadangkan adalah berkaitan dengan rasionalisasi subsidi yang dituruti dengan distribusi kepada pihak-pihak yang sepatutnya. Peruntukan subsidi yang telah dirasionalisasikan seharusnya diagihkan kepada masyarakat khususnya kepada golongan pelajar mahupun mahasiswa dalam usaha untuk menyelesaikan masalah peningkatan kos sara hidup. Teknikalnya, peruntukan tersebut mungkin boleh diagihkan melalui pendaftaran di pejabat-pejabat pos atau pihak yang berkaitan sekurang-kurangnya mampu mengurangkan beban dalam konteks sara diri.

Begitu juga, penggunaan pas pelajar juga dicadangkan dapat digunakan secara meluas bagi mendapatkan diskaun untuk pengangkutan dan pembelian buku-buku teks. Walaupun dalam Bajet 2010, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan penggunaan kad diskaun tambang sebanyak 50 peratus bagi pelajar untuk perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), namun, penggunaan kad tersebut dicadangkan digunakan secara meluas termasuklah penggunaan bas awam dan ekspres serta lain-lain.

Selaras dengan hasrat kerajaan untuk membudayakan budaya membaca dalam kalangan masyarakat juga, spesifikasinya golongan mahasiswa, seharusnya galakan untuk membaca dilaksanakan melalui peruntukan khas bagi pembelian buku teks atau buku-buku akademik yang lain. Penggunaan pas pelajar bagi mendapatkan diskaun dalam pembelian buku juga merupakan salah satu usaha yang harus difikirkan dan dimasukkan dalam perancangan dan penelitian Bajet 2012.

Tidak sekadar strategi jangka pendek sahaja difikirkan, strategi jangka panjang juga perlu dirangka secara bersama sebagai pelengkap bagi pakej yang berkaitan dengan konteks pelaburan modal insan ini. Isu berkaitan dengan kenaikan umur persaraan sehingga 60 tahun serta gaji minimum sehingga RM1,500 perlu dilihat dalam konteks yang lebih terkehadapan. Kenaikan umur persaraan sehingga 60 tahun akan mengurangkan bilangan pekerjaan bagi golongan mahasiswa yang keluar daripada universiti. Kesannya, kepakaran pekerja baru melalui proses pelaksanaan kerja melalui pengalaman akan semakin menurun. Impaknya juga, akan berlaku pengangguran dalam tempoh masa yang lama, apatah lagi, antara syarat yang dikenakan oleh syarikat-syarikat kebanyakan menetapkan prioriti terhadap calon temuduga yang mempunyai pengalaman bekerja.

Selain itu, cadangan kenaikan gaji minimum juga harus diperhalusi serta diambil kira dari sudut status hidup bagi membendung kemiskinan Bandar yakni pendapatan yang tidak setara dengan perbelanjaan keperluan asas. Maka, bajet 2012 harus membentangkan strategi yang jelas dalam usaha untuk mengatasi pengangguran dalam kalangan siswazah. Peruntukan pelaksanaan Skim Latihan 1Malaysia yang bertujuan memberikan latihan kepada siswazah belum memberi sebarang jaminan kerja untuk golongan ini sedangkan seharusnya universitilah yang bertindak sebagai penyedia latihan bagi siswazah. Oleh itu, suntikan fiskal harus dilaksanakan oleh pihak berwajib dalam usaha untuk mencipta peluang pekerjaan, bukan sekadar memberikan latihan tanpa penciptaan peluang pekerjaan. Begitu juga, masalah ini makin meruncing apabila mereka terpaksa membayar hutang PTPTN yang harus dilangsaikan sedangkan mereka masih belum lagi mempunyai pekerjaan.

Justeru, bajet 2012 harus memberi penekanan kepada aspek strategi jangka masa pendek dan panjang dalam usaha untuk mengatasi masalah peningkatan sara hidup khususnya golongan mahasiswa serta mengurangkan masalah pengangguran dalam kalangan siswazah. Modal insan yang telah dicipta tetapi tidak dimanfaatkan kerana kekurangan penciptaan peluang kerja hanya akan menyebabkan berlakunya proses pembaziran tenaga manusia dalam negara.

Mohamad Iqbal Ab Wahab
Presiden
Majlis Perwakilan Pelajar UIAM

Sumber: Harakahdaily.Net

02 October 2011

Respon Ma'ruf Club Berkenaan Ustaz Azhar Idrus di UIAM

Assalamualaikum & salam mahasiswa,

Alhamdulillah, kami di pihak Ma’ruf Club amat bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana dengan izinNya, niat untuk membawa seorang tokoh pendakwah tersohor ke bumi UIAM dimakbulkan oleh Allah s.w.t. Walaupun terdapat sekatan dan halangan yang pelbagai daripada pihak yang tidak bertanggungjawab, program tersebut tetap dapat diadakan dan mencapai maksud/tujuan ia diadakan.

Untuk itu, kami amat berterima kasih kepada beberapa pihak yang membantu kami secara langsung mahupun tidak langsung. Secara khusus kami tujuan ucapan terima kasih itu kepada SDEV yang telah memberi kebenaran untuk program diadakan, FFSD yang telah meluluskan permohonan tempat program, CPD dan OneHeart Creative Solution yang telah menyediakan sistem audio dan visual, serta pihak masjid UIAM, yang pada awalnya telah memberi kebenaran kepada kami untuk mengadakan program tersebut di masjid.

Berkenaan dengan gangguan pihak luar terhadap program kami, sehinggakan terpaksa menukar tempat program di saat-saat akhir, kami berpendirian bahawa :

[1] Perbuatan tersebut adalah suatu tindakan yang zalim dan bercanggah dengan ajaran Islam. Mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung mesti bertaubat kepada Allah s.w.t. dan memohon maaf kepada umat Islam, khususnya yang hadir pada malam tersebut.

[2] Tindakan tersebut adalah suatu pancabulan ke atas Institut Pengajian Tinggi yang sepatutnya menjadi pusat ilmu yang bebas dari campur tangan politik pihak luar. Ia juga telah mencemarkan nama baik UIAM sebagai sebuah pusat ilmu dan budi yang tersohor.

[3] Peristiwa itu juga adalah suatu manifestasi kebimbangan pihak-pihak tertentu terhadap kehilangan pengaruh mereka khususnya dikalangan kaum muda (mahasiswa) bagi mempertahankan ‘kedudukan’ mereka di ‘kerusi-kerusi’ tertentu dalam ‘pemilihan’ akan datang.

[4] Pihak pentabiran UIAM sepatutnya lebih tegas dan telus mempertahankan kedudukan UIAM sebagai pusat ilmu dan budi yang bebas serta mempertahankan hak warganya. Suatu makluman dan penjelasan perlu diberikan kepada seluruh warga UIAM atas apa yang telah terjadi itu.

Kami di pihak Ma’ruf Club, bersedia memberikan komitmen kami untuk tetap bersama-sama dengan pihak pentadbiran UIAM dan seluruh warganya demi untuk membangunkan komunitinya dengan kematangan ilmu dan kesuburan iman. Kami juga ingin menyeru kepada seluruh mahasiswa UIAM untuk tetap teguh di belakang pentadbiran UIAM, khususnya YBhg. Puan Rektor, untuk memacu UIAM merealisasikan visi dan misinya.

Discover the Beauty of Islam
Inspiring Dakwah, Leading the Ummah

Wallahua’lam.

Saya yang benar,
EIKHWAN ALI
Presiden,
Ma’ruf Club UIAM.

01 October 2011

UAI di UIA: 'Tangan Jahat' Mengganggu Program

Assalamualaikum & salam mahasiswa,


Alhamdulillah, seinfiniti kesyukuran kepada Allah atas rezekiNya yang melimpah-limpah untuk hambaNya. Malam Jumaat bertarikh 30 September menjadi sejarah bagi mahasiswa UIAM apabila kehadiran lebih kurang 4000 ke majlis kuliah Ustaz Azhar Idrus mendapat sambutan yang hangat. Fenomena Ustaz Azhar Idrus telah menarik Persatuan Mahasiswa Terengganu untuk merisik beliau sejak bulan Februari yang lepas lagi.

Dengan kerjasama kelab yang giat dalam aktiviti dakwah, Ma'ruf Club, program ini diluluskan oleh pihak pentadbiran UIAM pada awal semester ini. Masjid SHAS UIAM bakal menjadi sasaran mahasiswa bahkan seluruh masyarakat dan peminat Ustaz Azhar Idrus daripada seluruh negara. Promosi digiatkan di masjid-masjid sekitar Gombak menghebahkan kedatangan seorang ulama terkenal ke Masjid UIAM.

Sehari sebelum program, pihak Ma'ruf Club dikejutkan dengan penarikan balik kelulusan tempat program iaitu Masjid SHAS yang boleh memuatkan 6000 orang. Dalam masa berbaki, pihak pentadbiran UIAM cuba membantu dan hanya meluluskan tempat di Experimental Hall yang mampu memuatkan seramai 300 orang. Berita tersebar dengan cepat di alam maya Facebook menyebabkan mahasiswa mula tidak berpuas hati.



Bagi kami Pro-Mahasiswa (WUFI), perkara sebegini seolah-olah telah menjatuhkan institusi masjid sendiri apabila menyekat seorang pendakwah profesional untuk berada di masjid menyampaikan kuliahnya. Namun, mahasiswa perlu berhati-hati dalam menghukum dan meletakkan pendirian.

Beberapa jam sebelum program, dikhabarkan pimpinan Ma'ruf Club melalui Presiden, saudara Mohd Eikhwan Ali dengan kerjasama Exco MPP, saudara Fitry Hussin telah cuba berusaha untuk berjumpa dengan Puan Rektor bagi memohon rayuan supaya dibenarkan berkuliah di masjid. Namun, Puan Rektor tiada di pejabat.

UIAM tidak bersalah. Pentadbiran UIAM tidak bersalah. Pihak masjid juga tidak bersalah. Mereka ditekan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kami mendapat maklumat daripada urusetia program yang berjumpa dengan Direktor Masjid, bahawa beliau telah mendapat panggilan telefon daripada 'kuasa' lain supaya tidak membenarkan program Ma'ruf Club ini dijalankan di masjid. Penangkapan akan dibuat oleh 'SB' jika program tersebut diteruskan juga di masjid.



Justeru, pendirian kami Pro-Mahasiswa (WUFI) berkenaan dengan peristiwa ini adalah seperti berikut:

1. Mahasiswa jangan cepat menghukum khususnya terhadap pihak Rektor UIAM dan Direktor Masjid SHAS kerana mereka telah ditekan oleh 'tangan jahat', kami mendoakan agar pihak UIAM diberikan pertolongan untuk berhadapan dengan mereka

2. Campur tangan politik 'tangan jahat' telah merencatkan Insitusi Pendidikan Tinggi (IPT) khususnya di universiti awam sebagai pusat intelektual, perbuatan ini telah memakan diri mereka sendiri

3. Mereka juga perlu waspada kerana mengkhianati ulama adalah mengkhianati pewaris Rasulullah (selawat dan salam ke atasnya) selaras dengan sabda Rasulullah (selawat dan salam ke atasnya), "Ulama adalah pewaris Anbiya"

4. Kerajaan 'tangan jahat' ini mesti faham, mereka boleh menyekat masjid, mereka boleh mengganggu program, mereka juga boleh menangkap sesiapa sahaja tetapi mereka tidak boleh menghalang idealism anak muda yang lebih intelek

5. Mahasiswa bersedia menghadapi PRU-13

Justeru, saya mewakili Pro-Mahasiswa (WUFI) mengajak seluruh rakan mahasiswa untuk bersatu dalam isu ini menyahut seruan Allah dalam Al-Quran yang bermaksud, "Bertolong-tolonglah dalam perkara kebaikan dan Taqwa". Kami menyokong penuh usaha pihak Ma'ruf Club yang bertungkus-lumus dalam menjayakan program ini. Tidak lupa juga kepada One Heart Creative Solution yang sudi menaja program Kuliah Ustaz Azhar Idrus.

"We Unite For Islam"

Muhammad Hafizuddin MN
Pengerusi Pro-Mahasiswa (WUFI) UIAM

DARIPADA MAHASISWA UNTUK MAHASISWA