PUTRAJAYA, 28 Jan: Kumpulan Pro Mahasiswa (Pro-M) hari ini menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi menuntut penambahbaikan terhadap proses pilihan raya kampus.
Gabungan mereka terdiri daripada Solidariti mahasiswa Malaysia (SMM), Gabungan Mahasiswa Islam Se-malaysia (Gamis), Kumpulan Aktivis Mahasiswa independen (Kami), Malaysia Youth and Students Democratic Movement (Dema), Pro-mahasiswa (Pro-M) daripada beberapa kampus di Lembah Klang.
Memorandum berkenaan antaranya menuntut KPT memastikan proses pilihan raya kampus berjalan secara bersih, penubuhan Suruhanjaya Pilihan Raya di peringkat mahasiswa dan mewujudkan badan bebas untuk memantau proses pilihanraya di setiap kampus seluruh negara.
Pengerusi Majlis Politik Nasional Gamis, Ahmad Syukri Che Ab. Razab berkata, pilihan raya kampus sebelum ini sangat teruk dengan penyelewengan yang dilakukan pihak Hal ehwal Pelajar (HEP).
"Kita merasakan PRK 2010 adalah paling kotor, pencabulan demokrasi paling teruk dalam sejarah mahasiswa.
"Memorandum yang kita hantar hari ini adalah bagi meminta penambahbaikan iaitu penelitian dari pihak Menteri sendiri agar cadangan ini diperhalusi supaya perkara seleweng yang lepas tidak berulang," katanya selepas penyerahan memorandum berkenaan.
Pengerusi Pro-M Nasional, Muhammad Taufiq Abdul pula berkata, mahasiswa tidak mahu ada campur tangan mana-mana parti politik dalam pilihan raya kampus kali ini sebaliknya memebrikan kebebasan kepada mahasiswa menentukan halatuju mereka.
"Kita minta dalam pilihan raya kampus ini tidak ada campur tangan mana-mana parti politik sama ada PAS atau BN.
"Kita harap demokrasi kampus dapat dikembalikan, kita desak mansuhkan undi di kolej kediaman kerana kita dapati pengundian di kolej kediaman, ada pihak tertentu akan memanipulasi undi mahasiswa," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kami, Muhammad Hilman Idham berharap pihak KPT memberikan maklum balas segera terhadap tuntutan mereka itu.
"Ini adalah cadangan penambahbaikkan yang kita kemukakan, kita minta Menteri respon segera.
"Kita juga mengharapkan berlangsungnya satu hubungan konstruktif antara Pro Mahasiswa dengan pihak kementerian dalam usaha menjadikan pilihan raya kampus adil dan bersih," katanya.
Tiga lagi tuntutan mereka ialah pemansuhan e-voting, tarikh pilihan raya diumumkan lebih awal, tempoh berkempen untuk pilihan raya dipanjangkan dan pemberian cuti pada hari penamaan calon dan pembuangan undi.
0 comments:
Post a Comment