28 JANUARI 2011
Piket mahasiswa anjuran Pro-Mahasiswa Nasional di hadapan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang julung-julung kalinya diadakan pada tahun 2011 ini bakal menyaksikan satu lagi tanda aras kebangkitan mahasiswa pada tahun 2011 yang sentiasa cakna terhadap sebarang permasalahan yang melanda kampus-kampus universiti di seluruh Malaysia.
Piket Pro-M Nasional ini juga mengumpulkan beberapa pimpinan mahasiswa dari segenap front mahasiswa di seluruh Malaysia termasuklah dari Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), Malaysia Youth and Students Democratic Movement (DEMA), Pro-Mahasiswa (Pro-M) dari beberapa kampus di Lembah Klang serta beberapa lagi aktivis mahasiswa dan masyarakat dari seluruh Malaysia.
Kemuncak kepada piket ini ialah Pro-M Nasional akan menghantar satu deligasi yang terdiri daripada beberapa pimpinan mahasiswa untuk menyerahkan memorandum tuntutan mahasiswa kepada Menteri Pengajian Tinggi; Dato’ Seri Khaled Nordin.
Antara tuntutan yang terdapat di dalam memorandum tersebut ialah :
- Bebaskan mahasiswa daripada cengkaman politik luar.
- Kembalikan demokrasi & kebajikan mahasiswa.
- Pusat pengundian semasa pilihanraya kampus ditukar dari kolej ke fakulti.
- Penubuhan suruhanjaya bebas yang akan memantau perjalanan pilihanraya kampus.
- Pemansuhan E-Voting.
- Tarikh pilihanraya kampus diumumkan lebih awal.
- Tempoh berkempen di dalam pilihanraya kampus dipanjangkan.
- Berikan cuti pada hari penamaan calon & pembuangan undi.
Justeru, Pro-M Nasional juga berharap supaya di peringkat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) khususnya Menteri KPT mengambil perhatian yang serius terhadap beberapa tuntutan Pro-M Nasional yang mewakili sebahagian besar mahasiswa di kampus-kampus seluruh Malaysia.
Semoga dengan tuntutan-tuntutan tersebut ia akan memberi nafas baru kepada gerakan mahasiswa di setiap kampus dan Pro-M Nasional akan terus mendokong usaha-usaha murni di peringkat KPT mahupun Kerajaan Pusat dalam memastikan mahasiswa di Malaysia mampu membentuk jatidiri dan idealisme yang mapan ke arah perencanaan masa hadapan Negara yang lebih dinamik.
0 comments:
Post a Comment