Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

31 October 2011

Facebook Digodam, Cubaan Menyekat Kemaraan Mahasiswa

Assalamualaikum & salam mahasiswa,

GOMBAK,30 Oktober 2011-Akaun facebook milik Pro-Mahasiswa (WUFI) UIAM telah digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kejadian itu telah disedari oleh salah seorang anggota kumpulan yang berjuang bagi menegakkan hak-hak mahasiswa di UIAM petang semalam.

Menurut Pengerusi Pro-Mahasiswa (WUFI) UIAM, Muhammad Hafizuddin MN, "Motif sebenar penggodaman tersebut disyaki untuk menyekat kebangkitan mahasiswa dan cuba untuk memecah belahkan gerakan mahasiswa. Tindakan ini dilihat mahu memberi tekanan kepada Pro-M daripada terus memperjuangkan isu Prof Abd Aziz Bari".

"Kami tetap serius dan istiqamah dalam memperjuangkan isu kebebasan akademik walau apa ancaman sekalipun yang pihak kami terima. Kami berharap mahasiswa dan masyarakat seluruhnya tidak termakan dengan sebarang provokasi dan tohmahan yang dilemparkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab"ujarnya.

Tindakan ini juga dipercayai ada kaitan dengan 'tangan jahat' yang sering menggangu bermula daripada isu Ustaz Azhar Idrus, penafian Presiden MPP dalam rancangan HUJAH TV9 dan Prof Abd Aziz Bari.

KES UGUTAN TERHADAP PROF AZIZ BARI

Dalam masa yang sama, berita penghantaran peluru ke rumah Prof Aziz agak mengejutkan mahasiswa UIAM khususnya. Tindakan sedemikian sangat bercanggah dengan norma kehidupan manusia.

Mahasiswa UIAM tetap menyokong sepenuhnya perjuangan kebebasan akademik yang dibawa oleh Prof Aziz.

Mengulas isu tersebut, beliau menegaskan, "Kami mengecam sekeras-kerasnya perbuatan menghantar peluru tersebut seolah-olah mahu menakutkan Prof Aziz dalam masa ini".

Sehingga hari ini, pihak UIAM masih belum mengeluarkan sebarang respon selepas menarik balik penggantungan terhadap Prof Abd Aziz Bari.

DARIPADA MAHASISWA UNTUK MAHASISWA

26 October 2011

Munajat Keamanan – “Motivasi Perjuangan Menegakkan Kebenaran”

Assalamualaikum & salam mahasiswa,

Dengan tidak menafikan kekuatan demonstrasi dalam memberi suatu kesan kepada sesuatu isu, ia tetap juga salah satu pilihan daripada pelbagai pilihan yang ada. Paling penting ialah untuk mengambil tindakan yang bertanggungjawab dan bertanggungjawab dengan tindakan. Kedua-duanya bertitik tolak daripada kefahaman dan kesedaran.

Pro-M (WUFI) UIAM merasakan, keputusan SRC untuk mengadakan Munajat Keamanan semalam, walaupun diumumkan melalui Presiden SRC lewat petang, ia adalah suatu tindakan yang tepat, matang dan bertanggungjawab. Hal ini terbukti apabila pengumuman itu disambut dengan sokongan padu oleh mahasiswa UIAM. Kami juga menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan tersebut.

Mengungkap kata-kata salah seorang yang hadir, “Malam munajat keamanan yang diadakan pada malam ini adalah satu malam memotivasikan semangat perjuangan untuk menegakkan kebenaran”. Bersetuju dengan pendapat beliau, kami berbesar hati untuk berkongsi antara perkara yang dinyatakan dalam program tersebut. Antaranya seperti berikut :

Islam menyuruh umatnya menentang sebarang bentuk kezaliman dan kemunkaran. Sekecil-kecilnya dengan membenci di dalam hati sehinggalah kepada sebesar-besarnya dengan memanfaatkan kuasa untuk menegakkan keadilan dan kebenaran. Apa juga caranya, kemunkaran tersebut harus ditentang.

Rasulullah s.a.w. menyeru umatnya supaya membantu orang yang zalim dan orang yang dizalimi. Orang yang zalim dibantu dengan cara diberi nasihat dan teguran, dan jika perlu berdepan dada sekalipun, diizinkan, selagimana tidak mendatangkan mudarat yang lebih besar. Orang yang dizalimi pula dibantu dengan memberi sokongan dan memperjuangkan nasibnya serta mengambil apa juga tindakan supaya tertegak keadilan untuk dirinya.

Nabi s.a.w. telah mengajarkan umatnya dengan suatu doa, “Ya Allah, tunjukkanlah bahawa yang benar itu benar, dan anugerahkanlah kami kekuatan untuk mengikutinya.....”. Ada yang berkata, bukankah telah nyata kebenaran bahawa kebebasan bersuara itu telah diperuntukkan dalam perlembagaan? Ya, itulah apa yang zahir kebenaran disisi manusia. Namun di sisi Allah s.w.t. yang Maha Mengetahui, pelbagai kebenaran lain yang lebih penting dan besar, yang akan Allah s.w.t. tunjukkan kepada hamba-hambanya yang beriman yang berfikir.

Kesatuan atas nama Islam adalah asas perpaduan. Islam menyuruh yang ma’ruf dan mencegah kemunkaran. Menentang kezaliman dan menegakkan keadilan adalah tuntutan amar ma’ruf nahi munkar. Perjuangan menegakkan kebenaran dan menentang kebatilan mestilah dibina dengan kekuatan kesatuan. Tanpa kesatuan, rapuhlah perjuangan.

Selain kesatuan, perjuangan kebenaran mestilah dengan kekuatan jentera. Setiap orang perlu berperanan dan setiap orang bertanggungjawab di posisinya. Di zaman moden ini, agenda penerangan sangat penting. Maklumat yang benar perlu disebarkan dan maklumat yang salah perlu disekat. Asasnya, maklumat-maklumat tersebut mestilah dipastikan dahulu status benar atau salahnya. Untuk itu, pembacaan dan pengkajian daripada pelbagai sumber dan sumber yang diyakini sangat penting. Di sinilah mahasiswa tampil berbeza dengan orang lain, iaitu sikap ‘tabayyun’ dalam menjalankan tugasnya sebagai agen penerangan kepada masyarakat.

Pro-Mahasiswa (WUFI) tetap tegas berpendirian sama dengan SRC dan seluruh warga UIAM, khususnya dalam menuntut pembatalan siasatan terhadap Prof. Aziz Bari.

DARIPADA MAHASISWA UNTUK MAHASISWA

23 October 2011

Justice For Prof Aziz Bari

Assalamualaikum & salam mahasiswa,



Justice For Prof Aziz Bari

Protect Our Academic Freedom

DARIPADA MAHASISWA UNTUK MAHASISWA

21 October 2011

WUFI Kesal Campur Tangan Politik Melampau

Assalamualaikum & salam mahasiswa,


Atas sebab 'memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti', pakar Perlembagaan Malaysia tersohor, Prof Abd Aziz Bari digantung sehingga notis selanjutnya dikeluarkan. Sebelum itu, beliau telah pun menerima surat tunjuk sebab daripada UIAM disebabkan oleh kenyataan kontroversi beliau yang menyentuh institusi Raja-Raja Melayu.

Tamparan hebat telah diterima oleh warga kampus akibat daripada penggantungan yang dibuat. Kebebasan akademik telah dipertikaikan, intelektualisme yang diperjuangkan selama ini telah dicabul begitu sahaja. Apa yang mengecewakan, ahli akademik yang menjadi mangsa.

Pada akhir-akhir ini, campur tangan pihak luar ke dalam pengurusan pentadbiran UIAM dilihat semakin menular. Hal ini bermula dengan isu kehadiran Ustaz Azhar Idrus ke dalam UIA, kemudian sekatan terhadap Presiden MPP dalam program HUJAH TV9 bergandingan bersama Rektor dan kemuncaknya kes Prof Abd Aziz Bari yang diambil tindakan penggantungan dan menyebabkan isu ini mendapat respon daripada pelbagai pihak di peringkat nasional.

Justeru, Pro-Mahasiswa (WUFI) berpendirian:

[1] Mendesak supaya pentadbiran UIA membuat penjelasan terhadap kes ini

[2] Mendesak agar penggantungan terhadap Prof Abd Aziz Bari ditarik balik

[3] Bertegas dengan sebarang campur tangan politik luar ke dalam UIA demi menjaga nama baik institusi 'Taman Ilmu dan Budi'

[4] Memberikan kebebasan bersuara dan kebebasan akademik seluas-luasnya tanpa sebarang kepentingan oleh mana-mana pihak

Kami juga berharap agar sebarang tindakan daripada pihak luar mempertimbangkan kondisi semasa mahasiswa UIAM.

Harapan kami juga agar golongan akademik dan cendekiawan lain bersedia untuk memberi sokongan penuh kepada isu ini.

Dalam berusaha menuntut keadilan untuk semua, di peringkat kepimpinan mahasiswa melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bersama-sama seluruh pimpinan mahasiswa di segenap kelompok sedang mengatur dan melaksanakan perancangan yang terbaik untuk kebaikan semua pihak. Perkara yang paling penting adalah, kita bukan memperjuangkan kebebasan Prof Abd Aziz Bari semata-mata, bahkan isu yang paling besar adalah kebebasan bersuara dan kebebasan akademik.

Pengerusi
Pro-Mahasiswa (WUFI) UIAM

DARIPADA MAHASISWA UNTUK MAHASISWA

20 October 2011

HIMPUN: Satu Pandangan

Assalamualaikum & salam mahasiswa,


Bismillah walhamdulillah,

22 Oktober, seluruh umat Islam diseru untuk menghadirkan diri ke Stadium Shah Alam untuk menyuarakan bantahan terhadap peningkatan kes-kes murtad yang dilaporkan di Malaysia. Keengganan PAS untuk tidak menyatakan sokongan dilihat sedikit sebanyak menempangkan gerak langkah gabungan NGO ini. Walaupun masih lagi dinaungi oleh para NGO yang lain, namun kegagalan menarik PAS turut sama terlibat dalam HIMPUN ini dilihat bakal memberikan impak yang bukan kecil.

Mengapa HIMPUN? Agaknya, apa perasaan kita, selaku orang Islam, tatkala penganut Buddha beramai-ramai berkumpul menyatakan kebimbangan mereka apabila 'murtad'nya penganut Buddha dengan kembali kepada Islam? Apa jeritan hati kecil kita, tatkala para pendokong Hindu, menyuarakan bantahan dengan berkumpul beramai-ramai, mencela penganutnya yang menganut Islam? Soalnya, mana sensitiviti kita terhadap konsep keharmonian agama yang selama ini kita junjung bersama?

Harus diingat, kita sepatutnya gusar, seandainya golongan yang hadir ke HIMPUN hanyalah mereka yang sudah sebati dengan Islam sekaligus meninggalkan puak-puak yang masih hanyut, jauh di belakang. Target mad'u yang dilihat terlalu terbuka seperti ini dilihat menyukarkan perkembangan dakwah yang sepatutnya menjadi titik permulaan bagi membasmi gejala murtad yang kian membarah di bumi ini. Sasaran utama kita haruslah mereka yang masih tidak sedar gejala murtad yang merebak dalam diam, namun, akan datangkah golongan sebegitu dalam perhimpunan seumpama ini?

Usah menuding jari kepada agama lain. Lihat sendiri, apa yang orang Islam laksanakan untuk menyuburi hati-hati orang Islam? Sebenarnya, di mana kita dalam menangani isu murtad? Berapa banyak bajet dalam belanjawan diperuntukkan untuk menangani gejala sosial dalam kalangan anak muda? Berapa program realiti yang menjarakkan manusia dengan nilai-nilai Islam dihentikan? Berapa konsert-konsert hiburan yang berjaya dibatalkan? Sejauh mana dakwah Islam benar-benar konsisten menyirami hati-hati gersang warga Islam di Malaysia? Berapa banyak gerakan dakwah dijana pada peringkat kerajaan? Cukupkah dengan sekadar penganjur Musabaqah Al-Quran saban tahun? Dan, benarkah kita percaya, dengan HIMPUN, barah murtad bakal sembuh? Berapa ramai non-muslim akan kembali pada fitrah mereka, yakni Islam? Berapa ramai pula orang Islam yang sudah murtad akan insaf, dan bertaubat dengan pulang ke pangkuan Islam?

Saya berpendapat idea HIMPUN, adalah cukup baik. Namun, saya bimbang seandainya dengan HIMPUN, persepsi non-muslim terhadap muslim akan lebih buruk. Mungkin jurang antara agama akan wujud dengan lebih besar selepas ini. Dan secara langsung akan memberi kesan kepada usaha dakwah di bumi Malaysia. Pandangan saya, HIMPUN hanya satu cara, dan kita masih punya beraneka alternatif lain bagi menangani gejala murtad seperti ini. Jangan semakin bezakan kita dengan mereka, jika tidak bagaimana mereka akan menuruti kita? Jadi, saya mohon tampil berbeza.

Muhammad Izzat Ghazali
Mahasiswa Undang-undang UIAM

DARIPADA MAHASISWA UNTUK MAHASISWA