SINTOK, Feb 9 — Pihak universiti disaran supaya lebih terbuka dalam mendengar suara mahasiswa, di samping memberi peluang kepada mereka untuk mengutarakan sebarang pandangan kepada pihak pengurusan universiti demi kepentingan bersama.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, jawatankuasa kebajikan pelajar khususnya, perlu lebih berorientasikan pelajar dan tidak mengehadkan penyertaan pelajar dalam melontarkan sebarang idea atau komen kepada pihak pengurusan universiti.
“Saya menerima aduan, ada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang dijemput menghadiri mesyuarat jawatankuasa kebajikan pelajar, tapi suasana mesyuarat tidak berorientasikan pelajar, pandangan mereka tidak diambil kira.
“Seharusnya pihak universiti perlu meningkatkan pengiktirafan terhadap MPP, supaya ia benar-benar menjadi wakil mahasiswa yang berperanan,” katanya kepada pemberita pada program Siri Syarahan dan Dialog Politik Baru, di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini hari ini.
Katanya, isu-isu yang di bawa oleh MPP, harus diberi perhatian sewajarnya kerana ia melibatkan kebajikan serta kepentingan mahasiswa.
Saifuddin berkata, setiap peringkat pengurusan universiti termasuk Naib Canselor perlu memberikan maklum balas sekiranya menerima cadangan daripada pelajar dan tidak menolak kertas kerja yang dicadangkan tanpa melihat isi kandungannya terlebih dahulu.
Beliau berkata, MPP sendiri juga perlu meningkatkan kewibawaan dan membuktikan bahawa mereka benar-benar mempunyai kredibiliti dalam membela kepentingan mahasiswa setelah dipilih sebagai wakil pelajar.
Sementara itu katanya, peluang untuk mahasiswa berpidato juga lebih terbuka selepas Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dipinda tahun lalu, yang memberi ruang yang lebih luas untuk mereka bersuara.
“Kalau nak buat Parlimen dalam universiti pun buatlah kerana selepas Auku dipinda, lebih banyak kebebasan diberikan kepada mahasiswa serta pensyarah untuk menyuarakan pandangan,” katanya. — Bernama
Sumber : http://www.themalaysianinsider.com
DARI MAHASISWA UNTUK MAHASISWA
0 comments:
Post a Comment