15 January 2011
Titik Mula Perjuangan Mahasiswa 2011
Dalam era tahun baru 2011 ini, mahasiswa-mahasiswa bakal berdepan pilhanraya kampus (PRK). PRK yang berlangsung setiap tahun menyaksikan pelbagai rentak politik kampus yang dicaturkan oleh mahasiswa yang menarik tumpuan banyak pihak untuk dianalisa.Kumpulan-kumpulan mahasiswa yang sentiasa terlibat dengan PRK akan menjadi kayu ukur intelektual dan kematangan mahasiswa kepada masyarakat umum samada kumpulan Pro-Mahasiswa ataupun Pro-Aspirasi. Menjadi aktiviti normal bagi masyarakat melabelkan Pro-M sebagai kumpulan berorientasikan Pro-Pembangkang dan Pro-A sebagai Pro-Kerajaan.
Pro-Mahasiswa seperti Pro-M UM, GMUKM, WUFI (UIAM), GMS KUIS dan sebagainya merupakan kumpulan yang dianggap agresif dan berani dalam mempertahankan pendirian mereka. Namun, pendekatan diplomatik tetap menjadi strategi utama melihat keadaan dan kondisi yang sesuai mengikut kampus masing-masing. Bagaimana pun, Pro-M berusaha untuk mengambil kerajaan mahasiswa di kampus semata-mata bertujuan untuk mengembalikan hak-hak mahasiswa dan ingin menegakkan kebenaran di kampus.
Pro-Aspirasi pula selalu dimomokkan sebagai kambing hitam pihak pentadbiran universiti dek kerana hubungan Pro-A dengan pihak atasan yang terlalu rapat. Mereka menggelarkan kumpulan Pro-A sebagai penjunjung aspirasi universiti dengan merealisasikan visi dan misi sesuatu universiti tersebut.
Ada pun kedua-dua kumpulan mahasiswa ini, sehingga hari ini masih tidak jemu untuk meneruskan agenda masing-masing. Tahun 2010 menjadi saksi pelbagai aksi daripada kedua-dua pihak termasuk campur tangan pihak pentadbiran boleh dilihat. Hanya mahasiswa yang boleh menilai kumpulan yang sepatutnya mereka sokong dan dokong dalam memilih pimpinan mahasiswa.
Justeru, PRK yang semakin dekat ini bakal menjadi pemula dan titik awal kepada kebijaksanaan gerakan mahasiswa di setiap kampus dalam mengatur strategi untuk menjayakan agenda besar, bukan 'berjalan di atas angin'.
Mahasiswa dicadangkan supaya melihat kriteria-kriteria utama untuk memilih pemimpin:
1- Agenda utamanya adalah Islam
2- Menyeru kebaikan dan mencegah kemunkaran adalah kewajipan
3- Kebajikan mahasiswa diutamakan
4- Hubungan dengan manusia sekitarnya berakhlak
5- Kepimpinannya dirasai bukan dibenci
6- Keberanian mencetus solusi
Kriteria di atas bukanlah dicadang atas dasar fakta dan bersifat pokok, ia hanyalah cadangan penulis yang mendambakan pemimpin mahasiswa Islam yang hebat.
Kesimpulannya, mahasiswa hari ini tidak perlu tergopoh-gapah dalam berjuang kerana Rasulullah sendiri bersabar dalam menyampaikan seruan Islam. Hal ini bukanlah bermaksud mahasiswa hari ini perlu duduk bersahaja menantikan 'bulan jatuh ke riba'. Kebenaran dan hak mestilah diperjuangkan secara bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Semoga pendidikan politik dalam kalangan mahasiswa hari ini terus menyubur dari semasa ke semasa. Universiti adalah tempat melahirkan pemimpin yang berjiwa kepimpina bukan melahirkan pelajar yang bekerja.
WE UNITE FOR ISLAM
Muhammad Hafizuddin Muhamed Noor
Mahasiswa UIAM
Sumber: HarakahDaily.Net
12 January 2011
Rapat Umum Mahasiswa UIAM : Peranan Mahasiswa Terhadap Negara

Mahasiswa UIAM dijemput beramai-ramai menghadirkan diri demi kelangsungan intelektual mahasiswa sebagai anak muda Malaysia. Seru sahabat-sahabat mahasiswa yang lain.
DARI MAHASISWA UNTUK MAHASISWA
05 January 2011
PRO-MAHASISWA?
Pro-Mahasiswa
Sejarah
Dunia mahasiswa sentiasa penuh dengan warna warni perjuangan. Sejak zaman penjajahan, hinggalah ke zaman milenium, dunia menyaksikan pergolakan dan suka duka perjuangan golongan anak muda yang penuh dengan idealisme dan semangat bergelora.
Mahasiswa sememangnya golongan yang sakti. Mahasiswa itu orang muda, yang panas darahnya, yang laju langkahnya, yang tajam lihatnya. Dan lebih hebat lagi orang muda itu pula bergelumang dengan ilmu pengetahuan. Maka paduan orang muda dan ilmu pengetahuan ini telah menghasilkan satu golongan manusia yang sakti.
Universiti Malaya, ditubuh pada 1949 di Singapura, merupakan universiti tertua di Malaysia. Kampus Kuala Lumpur, yang mana merupakan kampus induk UM hingga kini, ditubuh pada 1957 dengan bilangan pelajar serama 285 orang yang merupakan pelajar aliran sastera kampus Singapura.
Menjadi universiti pertama, UM menyaksikan lahirnya gerakan mahasiswa yang menggugat kebobrokan pemerintah. Nama-nama seperti Syed Hamid Ali, Anwar Ibrahim, Hishamuddin Rais, Khong Kim Hoong, merupakan contoh pemimpin mahasiswa yang bangkit memperjuangkan isu-isu rakyat.
Isu-isu perjuangan mahasiswa tidak hanya berlegar pada isu yang melibatkan mereka saja. Menjadi jurubicara rakyat, banyak isu seperti kemiskinan, demokrasi dan budaya telah menjadi tema perjuangan mahasiswa. Kemuncak perjuangan mahasiswa adalah ketika berlakunya rusuhan Baling. Selepas peristiwa Baling, ramai yang berpendapat mahasiswa tidak lagi berkuku, ditambah dengan cengkaman akta zalim AUKU (Akta Universiti & Kolej Universiti) yang berkuat kuasa sejak 1971.
Reaksi Terhadap Kebangkitan Mahasiswa
Menyedari betapa hebatnya pengaruh gerakan mahasiswa kepada pengaruh politik mereka, kerajaan akhirnya menggubal AUKU pada 1971. Ini adalah rentetan dari kekuatan pengaruh yang dimiliki mahasiswa hingga mereka berjaya mempengaruhi pola pengundian pada Pilihan Raya Umum 1969.
Walaupun dicengkam AUKU, mahasiswa tetap bangkit bersama golongan marhaen. Maka pada 1974, ribuan mahasiswa berdemonstrasi menuntut pembelaan terhadap golongan petani Baling yang menderita akibat penurunan harga getah. Akhirnya, sekali lagi, kerajaan mengukuhkan lagi cengkaman mereka dengan meminda AUKU pada 1975 untuk menjadikannya lebih berkuku.
Malah lebih malang lagi, mahasiswa juga telah disekat dari menzahirkan kebencian mereka terhadap entiti haram Israel seperti peristiwa berdarah di Masjid ar-Rahman yang menyaksikan mahasiswa-mahasiswa Islam diperlakukan dengan kasar semata kerana tidak mahu melihat kewujudan entiti haram Israel di bumi Malaysia.
UIAM juga turut menerima tempias sekatan ini apabila pada tahun 2001, tiga mahasiswa UIAM dikenakan tindakan kerana membantah akta zalim ISA.
Persoalan
Melihat pada reaksi kerajaan terhadap aksi mahasiswa menyebabkan kita terfikir, adakah seorang mahasiswa itu tidak layak atau tidak boleh untuk membela nasib golongan miskin semata kerana nama mereka mahasiswa?
Sebagai seorang rakyat yang terpelajar, sudah tentu mahasiswa merasa terpanggil untuk bersama rakyat bawahan. Bukankah ini menunjukkan mahasiswa punya rasa prihatin terhadap persekitaran mereka?
Seperti kata saudara Ridhwan bin Alias, “Pelajar sebagai golongan intelektual perlu bersikap pemberani yang berlandaskan ilmu dan pengalaman yang dijernihkan oleh kebenaran yang diyakini bukannya bersikap surealis; bersuara kuat untuk meruntuh dan menghancur tanpa penciptaan dan pembinaan semula. Seorang revolusioner mengharapkan jiwa tertekan kerana dengan itulah dia akan bangun untuk mengantikan penindas-penindas.”
Penutup
Meneliti sejarah perjuangan mahasiswa, adalah menyedihkan apabila berlakunya penentangan dan sekatan terhadap aktivisme mahasiswa. Mahasiswa seharusnya diberikan kebebasan untuk menggerakkan seluruh jasad mereka untuk membela golongan bawahan. Ya, mungkin cara mereka kadang-kala agak keras. Tapi itu lah semangat seorang anak muda. Malah Tun Razak pernah berkata;
“Jikalau kita tinjau belakang semasa kita masih menuntut, tentulah kita dapat melihat perkara itu dari sudut yang betul”
Sekian, Wallahua’lam. STUDENT POWER!
Di mana suara mahasiswa?
Pasti pelbagai lagi alasan lapuk diulang-ulang sehingga naik muak telinga kita mendengarnya. Rasionalisasi subsidi, pengstrukturan semula dan bermacam lagi istilah digunakan untuk mengelabukan mata rakyat.
Yang menjadi persoalannya ialah sampai bila hanya rakyat yang 'didahulukan' untuk menanggung sebarang bebanan.? Rakyat sentiasa dinasihatkan "ubah gaya hidup" tetapi pemerintah pula bagaimana? Yang sering kita didedahkan dalam media bermacam projek yang membazir, ketirisan, rasuah, kronisme dan bermacam-macam lagi penyelewengan yang telah merugikan wang rakyat..
Mahasiswa perlu membawa suara rakyat yang ditindas ini. Jangan hanya leka dalam dunia akademik semata-mata tanpa menghirau kesusahan yang dialami rakyat di segenap pelusuk negara.
Suara mahasiswa, Suara keramat..
STUDENT POWER!!!





