KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menyeru mahasiwa supaya hadir ‘Hari Kemarahan Rakyat’ di Masjid Negara esok bagi menyatakan anak muda menolak politik fitnah dan jijik.
Ketua Penerangan Gamis Pusat, Mohd Yusof Hadhari berkata seluruh mahasiswa wajar untuk turut sertai perhimpunan itu, bagi menyatakan pendirian sebagai anak muda yang menolak sama sekali politik fitnah dan jijik yang kian parah serta menjadi permainan dalam pentas politik negara sekarang ini.
“Saya yakin dan percaya, kehadiran mahasiswa esok akan memberikan mesej yang jelas kepada kerajaan dan juga masyarakat bahawa mahasiswa dan anak muda tegas menolak budaya politik kotor dan inginkan kembalinya nilai-nilai kebaikan dalam berpolitik iaitu kembali kepada politik Islam.
“Oleh itu, saya selaku Ketua Penerangan Gamis menggesa dan menyeru mahasiswa dan anak muda sekitar Lembah Klang terutamanya dan seluruh mahasiswa yang lain bergabung tenaga dan bersama turun menyatakan pendirian kita,” tegasnya.
Menurutnya, isu yang cuba dibawa oleh Datuk Eskay Shazryl Abdullah semasa melafazkan sumpah di Masjid Amru Al-As baru-baru ini termasuk dalam hukum qazaf dan bukannya mubahalah.
"Kerajaan harus terlibat secara langsung bagi menegakkan hukum Islam yang menjadi tuntutan, kerana keengganan untuk melaksanakan hukuman tersebut membawa kepada padah seperti mana yang berlaku sekarang ini,” tegas beliau.
‘Hari Kemarahan Rakyat’ anjuran Gerakan Saf Anti Fitnah (Saf), Angkatan Muda Keadilan dan badan bukan kerajaan (NGO) di Masjid Negara, esok.
Program tersebut akan bermula jam 12 tengah hari dengan mengumpulkan kesemua NGO dan demonstrasi akan bermula selesai solat Jumaat.
0 comments:
Post a Comment