Pro-Mahasiswa UIAM melalui mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Zionis Israel yang telah menyerang kapal armada induk konvoi Lifeline 4 Gaza , Mavi Marmara . Tindakan biadab dan melanggar batas perikemanusiaan ini telah mengakibatkan 16 kematian dan lebih 30 orang lagi cedera . Beberapa kapal Freedom Flotilla yang membawa misi kemanusiaan juga telah dirampas dan ditarik ke Haifa Israel .
Konvoi kemanusiaan Gaza-Freedom Fotilla untuk rakyat Gaza ini yang diketuai oleh Turki membawa 7 buah kapal dan membawa sejumlah besar aktivis sukarelawan yang terdiri daripada ulama, ahli parlimen, ahli akademik , petugas media , aktivis , seorang kanak-kanak berumur kurang daripada satu tahun dan juga seorang warga emas berumur lebih daripada 80 tahun .
Menurut wartawan Ayman Mohyeldin dari Al Jazeera yang melaporkan dari Baitulmuqaddis, berkata tindakan Israel itu mengejutkan.
“Semua gambar yang dipaparkan dari para aktivis di kapal-kapal menunjukkan dengan jelas bahawa mereka adalah warga awam dan bertujuan membawa misi kemanusiaan dengan bekalan perubatan di atas kapal . Tindakan Israel ini pasti akan mengejutkan masyarakat antarabangsa atas apa yang telah mereka lakukan .” katanya . (Lihat Palestinkini)
Penegerusi Pro-Mahasiswa UIAM , Wan Hakimi berkata mahasiswa sangat kesal dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang masih senyap dengan pristiwa kejam ini . Seolah-olah PBB hanya menjadi pemerhati semata-mata sedangkan PBB ialah satu pertubuhan yang mempunyai autoriti paling besar . Beliau juga mendesak kerajaan Malaysia mengambil tindakan segera kerana rakyat Malaysia juga ditawan oleh Israel .
Justeru , Pro-Mahasiswa UIAM mendesak dan menyeru ahli-ahli parlimen , parti-parti politik , NGO ,Kerajaan Malaysia , OIC dan PBB khususnya untuk bersuara sekeras-kerasnya tindakan Zionis Israel dan kami berharap satu tindakan daripada semua pihak dapat diambil supaya pintu laluan ke Gaza dibuka untuk membawa masuk konvoi misi kemanusiaan antarabangsa ini .
Pro-Mahasiswa UIAM juga meminta supaya semua muslimin di seluruh dunia membuat solat hajat berterusan di masjid-masjid atau di mana-mana sahaja dan membaca doa qunut nazilah pada setiap waktu solat fardhu . Relawan Malaysia seramai 12 orang yang ditawan masih belum diketahui nasib mereka .
Pro-Mahasiswa menyeru semua mahasiswa khasnya serta muslimin dan muslimat amnya untuk membuat solat hajat dan membaca qunut nazilah pada setiap waktu solat untuk mendoakan ahli-ahli keluarga Konvoi Viva Lifeline 4 Gaza . Mereka sekarang sedang mengahadapi dugaan serangan daripada Zionis Israel La'natullah .
Kapal-kapal konvoi yang disertai beberapa negara termasuk Malaysia membawa misi kemanan dan kemanusiaan untuk membantu rakyat Palestin . Disebabkan kerakusan pihak Zionis Israel , telah mengakibatkan ahli konvoi maut dan cedera .
Pro-Mahasiswa juga menyeru semua pihak untuk turun ke demonstrasi bantah tindakan Israel , berikut adalah maklumat tentang demonstrasi tersebut :
TARIKH : 4 JUN 2010
TEMPAT : KEDUTAAN AMERIKA (BERKUMPUL DI MASJID TABUNG HAJI)
MASA : SELEPAS SOLAT JUMAAT
ANJURAN : DPP WP & DPP PUSAT
Semoga Allah membuka pintu kemenangan terhadap umat Islam . Allahuakbar !
Lebih kurang 9 tahun lalu, 7 orang mahasiswa telah ditahan ketika menyertai demonstrasi membantah kekejaman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Penangkapan mereka mendapat reaksi bantahan dari segenap golongan khususnya gerakan mahasiswa. Suasana ketika memang agak kecoh.
Dalam keghairahan masyarakat menentang regim Barisan Nasional yang patah sebelah kaki setelah dihentam Barisan Alternatif (kini Pakatan Rakyat) dalam Pilihan Raya ke-10 tahun 1999, mahasiswa mengambil inisiatif menubuhkan Gerakan Mahasiswa Menentang ISA (GMMI). GMMI ditubuh sebagai reaksi mahasiswa ke atas penangkapan 10 aktivis reformasi ketika itu[1]. Bagi menzahirkan penentangan ini, telah diadakan satu himpunan besaran di Masjid Negara. Seramai 500 mahasiswa megah berhimpun bagi mengutuk kekejaman ISA. Dan dalam himpunan inilah, 7 orang mahasiswa telah dicekup. Seperti dijangka, pihak universiti tanpa segan silu terus menggantung pengajian mereka[2].
Dan jika diingat kembali, dunia idealisme mahasiswa sangat bergolak dengan penggugatan secara terbuka kepada kebejatan parti pemerintah. Dan pemerintah, seperti biasa, bersikap keras terhadap mahasiswa.
Siapa akan lupa pada penangkapan saudara Fuad Ikhwan, Presiden MPP Universiti Malaya di bawah ISA kerana dituduh membakar Dewan Tunku Canselor? Siapa akan lupa pada pemecatan Presiden MPP Universiti Islam Antarabangsa, saudara Dasuki Wahab? ISA 7, seperti yang diceritakan tadi, siapa boleh lupa? Ini yang berlaku apabila mahasiswa bangkit menentang kebejatan regim Barisan Nasional.
Itu yang berlaku dulu. Yang terpahat kemas dalam tugu perjuangan mahasiswa. Sekarang pada tahun 2010, sekali lagi mahasiswa dihadap ke muka pengadilan. Di Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM 4 pelajar bakal didakwa di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kerana “membawa dan memiliki CD, risalah berunsur sokongan atau simpati dengan atau bangkangan terhadap parti politik yang bertanding dalam pilihan raya kecil kawasan itu”[3].
Agak pelik tuduhan yang dihadapkan kepada mereka berempat. Kerana jika memiliki risalah berunsur sokongan atau simpati kepada parti politik itu salah, bagaimana pula jika mahasiswa memiliki akhbar Utusan Malaysia? Bukankah Utusan sarat dengan berita yang membodek Barisan Nasional? Kenapa mahasiswa tidak didakwa kerana memiliki Utusan?
Kita hairan, kenapa HEP kelihatan begitu bersungguh dalam memberkas pelajar yang berpolitik sedang banyak lagi masalah sosial yang wujud dalam kalangan mahasiswa. Jika kita buka Facebook yang dikendali oleh para pelajar, mudah sangat untuk melihat aksi mereka tonggeng arak, berpeluk, bercium, di kelab malam. Apakah pengintip HEP tak pernah lihat semua ni? Kenapa para pelajar ini tak didakwa juga? Kenapa hanya mendakwa mahasiswa yang berpolitik?
Seperti episod yang ISA7, hikayat UKM4 ini sebenarnya sama sahaja. Keduanya didakwa kerana mereka mengancam kedudukan parti pemerintah. Sekiranya UKM4 itu memiliki bahan kempen Barisan Nasional, sudah tentu kita tidak akan lihat kempen untuk mendesak UKM menggugurkan dakwaan ke atas mereka. Kesalahan mereka hanya satu. Mereka menentang Barisan Nasional. Itu sahaja sebenarnya jawapan kepada kepelikan di atas. Kerajaan tidak kisah apa anda mahu buat, asal jangan menentang Barisan Nasional.
Suara mahasiswa suara keramat. Kerana itu kerajaan terlalu takut pada mahasiswa. Bayangkan, seorang manusia yang muda, berdarah panas, dan pada masa yang sama, berpendidikan. Sudah tentu mereka bisa menggoyahkan kedudukan siapa sahaja! Maka kerana itulah suara mereka akan sedaya upaya disekat oleh regim yang zalim.
Kita tak usah berasa pelik dengan tindakan disisplin yang ditimpakan ke atas UKM4 ini. Kerana mereka adalah mangsa percaturan politik bangsat UMNO APCO Barisan Nasional. Ingat, mahu selamat, jangan lawan kerajaan!
Semua mahasiswa di seluruh kampus diseru untuk menandatangani petisyen Referendum Bantahan 4 Mahasiswa UKM Dikenakan Auku . Sila nyatakan bantahan ada di laman :
Sesiapa yang berminat untuk berkongsi atau menerbitkan artikel untuk blog Pro-Mahasiswa UIAM ini , boleh berbuat demikian dengan menghantar artikel tersebut ke promahasiswauiam@yahoo.com