MAJLIS Perwakilan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (MPPUIAM) bertekad melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi sebagai membalas kepercayaan mahasiswa sewaktu pilihan raya lalu.
Yang Dipertuanya, Muhammad Iqbal Ab Wahab berkata, MPPUIAM kini perlu mengorak langkah awal menyediakan pelbagai pelan jangka panjang dan pendek bagi memastikan mahasiswa dan kawasan kampus ‘bebas’ masalah.
Menurutnya, meskipun penggal MPPUIAM baru bermula, mereka sudah bersiap sedia menghulurkan bantuan, sekali gus menjalankan amanah sebagai orang tengah antara mahasiswa dan universiti.
“MPPUIAM optimis menjalankan tanggungjawab dan sudah bersedia dengan pelbagai perancangan dan program untuk memberi manfaat kepada semua. Justeru, jika ada masalah, jumpa MPPUIAM untuk mencari penyelesaian.
“Pada masa sama, MPPUIAM akan mengambil pendekatan mesra ‘mengharmonikan’ hubungan antara mahasiswa dan pentadbiran. Biarpun sebelum ini ada rungutan, diharap ia tidak akan berlanjutan.
Turut hadir, Rektor UIAM, Profesor Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid; Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood dan Pengarah Pembangunan Pelajar, Dr Nor Asiah Mohamad.
Seramai 31 mahasiswa terpilih sebagai exco dan memikul tanggungjawab dengan portfolio masing-masing.
Antara tugas utama yang ditekankan MPPUIAM ialah membawa suara mahasiswa kepada pihak pengurusan, menjaga kebajikan dan menyampaikan permasalahan ke pihak pengurusan secara profesional.
“MPPUIAM akan sentiasa ‘dikerah’ untuk turun padang dan berkongsi maklumat serta masalah dengan warga kampus tanpa prejudis.
“Ini bagi memastikan semua urusan atau sasaran berjalan lancar selain tidak menyusahkan pihak-pihak terbabit,” katanya.
0 comments:
Post a Comment