Rakyat Malaysia dikejutkan dengan kenaikan harga barang '4 dalam 1' pada minggu lalu. Kenaikan ini memberi beban yang besar kepada rakyat Malaysia memandangkan musim persekolahan akan bermula pada awal Januari hadapan.
Lebih malang lagi, kesannya bakal dirasai oleh seluruh lebih 300,000 mahasiswa di Malaysia apabila semester baru akan dibuka menjelang hujung Disember ini.
Alasan pengurangan subsidi harga barang amat tidak relevan apatah lagi kenaikan barang baru sahaja berlaku tidak sampai enam bulan lepas iaitu pada 15 Julai yang lalu.
Di sini, mahasiswa mempertikaikan di mana prinsip 1Malaysia yang dilaung-laungkan oleh Kerajaan selama ini. Jika betul rakyat didahulukan, kenapa kenaikan berlaku dalam masa enam bulan?
Seperti kata pepatah 'kera di hutan disusui, anak sendiri mati kelaparan.' Rakyat terus menjadi mangsa penarikan subsidi sedangkan kerajaan mampu membayar perunding-perunding asing dan kroni mereka.
Jika terus menerus berlaku perkara seumpama ini, mahasiswa pastinya akan terus dizalimi demi menjaga kepentingan sesetengah pihak.
Kenaikan harga makanan di kampus pusat pengajian tidak dapat dielakkan lagi kerana pengusaha kafe atau kantin terpaksa menanggung kos pengangkutan lebih dari biasa akibat kenaikan petrol dan diesel serta kos bahan makanan seperti gula.
Hal ini menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati terutamanya mahasiswa yang akan menempuh semester baru. Bagaimana hendak cukup biasiswa/pinjaman diberikan jika keperluan sara hidup semakin naik.
Kesannya, lebih ramai mahasiswa terpaksa mengikat perut untuk meneruskan pengajian dan berkerja sambilan untuk menampung kos sara hidup.
Jika perkara ini berlaku secara berterusan, bagaimana Malaysia hendak melahirkan pelapis dan rakyat yang kompeten dari sudut akademik mahupun sahsiah jika mahasiswa tidak dapat fokus dalam pengajian mereka?
_____________________
Penulis merupakan pelajar tahun 4, jurusan Pengajian Ilmu Wahyu dan Warisan, UIAM dan merupakan Exco Perhubungan Awam, Kelab Ma'ruf 2009/10.
DARI MAHASISWA UNTUK MAHASISWA
0 comments:
Post a Comment