MAHASISWA perlu bersikap prihatin terhadap isu di kampus sekali gus membantu mereka supaya tidak ketinggalan dalam penyebaran maklumat oleh universiti.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa  Malaysia (MPPUIAM), Mohd Firwan Norliza berkata sikap tidak prihatin  mahasiswa menyebabkan berlaku keciciran maklumat hingga boleh  menyukarkan lagi keadaan.
Menurutnya, berdasarkan pemerhatian MPPUIAM, kebanyakan mahasiswa  kurang peka terhadap maklumat disebarkan sedangkan pemberitahuan sudah  dilakukan sama ada melalui pengumuman buletin mahupun kolej kediaman.
“Sikap kurang prihatin ini bukan saja merugikan mereka malah boleh  menimbulkan masalah lain, contohnya tanggapan salah MPPUIAM tidak  melaksanakan tugas dengan amanah.
“Sedangkan segala aduan diambil dengan telus, disampaikan kepada pihak berkenaan manakala tindak balas turut disertakan. Malangnya sikap kurang peka menyebabkan mereka terlepas atau tidak mengetahuinya.
“Justeru MPPUIAM meminta mahasiswa mengubah sikap ambil mudah selain peka terhadap apa jua perubahan atau penyampaian maklumat supaya tidak terus ketinggalan,” katanya.
MPPUIAM turut berharap mahasiswa akan memberi fokus kepada pelajaran sekali gus berjaya mengharungi peperiksaan sedang dihadapi.
“MPPUIAM mengucapkan selamat menghadapi peperiksaan dan berharap  mereka mampu memperoleh keputusan cemerlang. Jaga kesihatan dan  keselamatan serta jangan terbabit dengan masalah.
“Menara gading adalah medan mencerna kejayaan pada masa depan,  gunakan peluang ini sebaiknya sekali gus menamatkan pengajian dengan  memperoleh keputusan terbaik,” katanya.
Sumber : MyMetro





0 comments:
Post a Comment