Oleh : Mohd Firwan Norliza*
Mahasiswa berpendiriaan tegas membantah dan mendesak kerajaan Malaysia untuk menarik balik lesen yang telah diluluskan kepada Berjaya Corporation untuk menguruskan pertaruhan sempena Piala Dunia 2010 yang bermula Jun ini.
Tindakan kerajaan meluluskan lesen judi ini ternyata membangkitkan rasa kurang senang dari pelbagai pihak termasuklah masyarakat yang bukan beragama Islam. Ini jelas menunjukkan bahawa, rakyat Malaysia juga tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat. Hujah Timbalan Menteri Kewangan bahawa tindakan sedemikian adalah untuk mengurangkan masalah pertaruhan haram daripada berleluasa dilihat tidak munasabah kerana perbuatan judi ini ditegah oleh agama. Sekalipun judi dihalalkan oleh undang-undang di negara kita, namun perbuatan ini dengan jelas telah dinyatakan pengharamannya dalam Al-Quran tanpa apa-apa kompromi. Dengan kata lain, matlamat tidak menghalalkan cara.
Mahasiswa berpendirian bahawa, tindakan meluluskan lesen judi untuk perlawanan bola sepak Piala Dunia ini sangat tidak wajar kerana hal ini melibatkan sensitiviti dan maruah agama. Jika sebelum ini Malaysia diisytiharkan sebagai sebuah negara Islam, maka agak pelik sekiranya pemimpin sebuah negara Islam meluluskan satu perkara yang bertentangan dengan hukum Islam.
Selain itu, kami juga berpendapat, tindakan ini akan memberi kesan negatif kepada masyarakat Malaysia khususnya para remaja. Kegiatan judi seperti ini dibimbangi akan menjadi budaya yang tidak sihat dalam masyarakat yang sememangnya sudah parah dengan masalah sosial. Oleh itu, kerajaan Malaysia seharusnya bertindak bijak dalam membuat sebarang keputusan terutamanya dalam hal yang melibatkan hukum agama.
Justeru itu, Mahasiswa menyeru mufti - mufti, para intelektual, rakyat Malaysia yang cintakan kesejahteraan negara dan agama untuk berani bangkit menyatakan bantahan ini agar kerajaan menarik balik kelulusan lesen tersebut.
0 comments:
Post a Comment