
07 February 2012
We Love U

Welcome To All New Intake Students

22 December 2011
Selamat Tinggal Aziz Bari, Hilangnya Permata UIA
“Seorang ahli akademik yang lantang bersuara berteraskan nilai keilmuan dan berpegang disiplin ilmu bahawa setiap ilmu mesti disampaikan," kata Pengerusi Pro-M (Wufi) UIA, Muhammad Hafizuddin Muhamed Noor.
Menurutnya, mahasiswa UIA berasa amat sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku khususnya pentadbiran universiti itu.
Baginya, memang benar keputusan terletak dalam tangan Prof Aziz sama ada mahu meletakkan jawatan atau tidak, namun pihak universiti perlulah menjadi tempat beliau mendapat sokongan, bukan tekanan.
Katanya, isu Prof Aziz Bari ibarat 'sudah jatuh ditimpa tangga' apabila seolah-olah ada pihak luar yang mencucuk pihak pentadbiran UIA.
Tambahnya, Aziz Bari bukan sahaja berhadapan dengan musuh di luar, bahkan dalam keluarga sendiri sedangkan beliau diiktiraf oleh seluruh masyarakat dengan kepakaran bidangnya dalam perlembagaan dan undang-undang.
"Keputusan sudah dibuat oleh Prof Aziz, kita hanya mampu bersedih dan terasa kehilangan beliau,” katanya.
Namun, ujarnya masyarakat tetap dan sentiasa bersedia untuk mendengar respons dan pandangan Dr Aziz terhadap apa yang berlaku dalam negara khususnya berkaitan dengan perlembagaan Malaysia.
DARIPADA MAHASISWA UNTUK MAHASISWA
24 November 2011
Demonstrasi TOLAK 1.0
Pengerusi Pro-Mahasiswa UIAM (WUFI)
Sehingga kini, dalam tempoh kurang lebih 100 hari UIAM di bawah pentadbiran YBhg. Prof. Dato’ Sri Dr. Zaleha Kamaruddin, telah berlaku sekurang-kurangnya empat peristiwa hitam yang sangat mengecewakan warga UIAM dan telah menjatuhkan serta memalukan nama baik UIAM pada pandangan umum.Bermula dengan kes Ustaz Azhar Idrus dilarang berkuliah di dalam Masjid UIAM, pembatalan penyertaan Presiden SRC-IIUM sebagai panel dalam program HUJAH TV 9, Prof. Dr. Aziz Bari digantung tugasan dan dikenakan siasatan, dan terkini program In Person with Dato’ Saifudin dibatalkan secara ad-hoc.
Pro-Mahasiswa UIAM (WUFI) melihat, dalam kejaadian terbaru ini, tindakan pihak pentadbiran UIAM membatalkan program secara ad-hoc, dengan alasan ‘isu AUKU belum diputuskan’ dan ‘...saya tidak tahu program itu dihadiri oleh Timbalan Menteri’, dan diikuti dengan kenyataan berbeza ( baca : berputar belit ) yang diberikan oleh pihak pentadbiran UIAM kepada wakil penganjur dan pihak media, adalah satu tindakan yang sangat menjelekkan, tidak professional dan telah mengundang rasa kecewa serta marah pihak penganjur, warga UIAM dan rakyat Malaysia.
Dengan ini, pihak Pro-Mahasiswa UIAM (WUFI) ingin memaklumkan, akan menganjurkan demontrasi ‘TOLAK 1.0’, sebagai desakan menolak sebarang campur tangan luar terhadap hal ehwal pengurusan dan pentadbiran UIAM, dan menolak sikap tidak berprinsip pihak pentadbiran UIAM dalam mempertahankan hak mahasiswa dan UIAM sebagai sebuah institusi keilmuan.
Pro-Mahasiswa UIAM (WUFI) ingin mengajak dan menyeru seluruh mahasiswa dan warga Malaysia, untuk turut hadir ke demontrasi ‘TOLAK 1.0’ yang akan diadakan esok, Jumaat, 2.00 petang, di halaman (belakang) Masjid UIAM.
22 November 2011
Gelombang Siswa: Saifuddin Tak Dibenar Masuk UIA
Program In Person with Dato’ Saifudin yang dijadualkan berlangsung pada pukul 8.00 malam tadi telah dibatalkan atas arahan pihak pentadbiran. Pihak pentadbiran memberikan alasan atas dasar keselamatan kepada mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam proses Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang masih dalam perbincangan. Pihak Aikol Festival dan juga AJK program In Person with Dato’ Saifudin, telah menerima panggilan daripada pihak pentadbiran UIAM tentang pembatalan isu ini lewat 3.30 petang, semalam.
Mereka dimaklumakan tentang penangguhan program ini atas arahan Rektor UIAM sehingga mahkamah memutuskan tentang AUKU yang masih dalam pembincangan.
Tempat program yang dijangka berlansung program ini juga telah ditutup oleh pengawal keselamatan UIAM.
Pihak Law Students Society (LAWSOC) turut memberikan pandangan tentang pembatalan ini tidak sepatutnya berlaku dalam usaha melahirkan mahasiswa yang terkehadapan dan membina intelektualisme mahasiswa.
Pihak Aikol Festival dan Jawatankuasa program ini amat terkilan kerana ini adalah program yang disusun sudah lama sebagai program yang bermaanfaat untuk mahasiswa undang-undang terutamanya dan mahasiswa lain umumnya.
Pihak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UIAM juga memberikan pandangan bahawa sebelum pembatalan sesuatu program yang telah dirancang lebih awal perlulah mengikuti prosedur yang telah di tetapkan. Surat pembatalan program hendaklah ditulis beserta alasan-alasan yang munasabah.
Mahasiswa mengikuti prosedur untuk menjalankan sesuatu program, maka pihak pentadbiran juga seharusnya begitu. Program yang dirancang untuk mahasiswa, adalah program-program yang akan membina intelektual, membina kualiti diri serta menajamkan kemahiran mereka dalam menguruskan sesuatu program.
Mahasiswa perlu didedahkan dengan suasana yang baik dan pengurusan yang sistematik untuk melatih mereka berdepan dengan dunia pekerjaan.
Makluman yang di berikan kepada pihak Aikol Festival dan juga Jawatankuasa program ini pada lewat petang tadi serta alasan yang kurang munasabah menunjukkan masalah pengurusan dan profesionalisme yang bermasalah.
Sehubungan itu, pihak pro Mahasiswa UIAM (WUFI) turut dihubungi untuk memberikan pandangan berkenaan isu ini.
Pihak ProM WUFI menyatakan ini sudah kali keempat, pihak pentadbiran UIAM menimbulkan masalah yang sama.
Ia rentetan daripada isu Ustaz Azhar Idrus, Presiden MPP yang dinafikan tempat dalam rancangan Hujah, Prof Aziz Bari, dan yang terbaru Dato’ Saifudin yang tidak dibenarkan masuk UIAM dan program dibatalkan.
Mengapa mahasiswa sering di sekat untuk mencari ilmu yang berkaitan keagaaman dan juga inteletual serta kebebasan akademik yang dinafikan menimpa Prof Aziz Bari.
Kuasa dan tangan ghaib yang berselindung di sebalik pihak pentadbiran sudah semakin berani untuk menyekat kebangkitan mahasiswa. Isu akta dalam AUKU yang masih dalam perbincangan adalah rangka mereka untuk terus menyekat kebangkitan mahasiswa.
Mereka (Umno dan Kerajaan Malaysia) boleh meneruskan perancangan mereka, jika itu yang mereka mahukan. Dan kami akan terus mendedahkan kerja serta pakatan mereka kepada umum.
Mereka juga berpandangan bahawa perkara sebegini tidak terus dibiarkan berlaku. Mahasiswa tidak rela mempunyai kerajaan yang menutup kebebasan bersuara seperti ini.
Selain itu, mahasiswa juga bersedia untuk melakukan perubahan besar, khusunya dalam pemilihan tampuk kepimpinan negara yang akan datang.
Sebagai kesimpulannya, setiap entiti yang di hubungi mempunyai perspektif masing-masing berkenaan isu ini. Sewajarnya perkara ini tidak berlaku dan pihak pentadbiran seharusnya bijak dalam membuat sesuatu dengan menimbang tara segala aspek kerana universiti adalah medan ilmiah dan seharusnya telus dalam segala tindakan.
11 November 2011
Jagalah Ikhtilat Sesama Kita
Oleh: Farahiyah Mat Daud
Ikhtilat (pergaulan antara lelaki dan perempuan). Adakah sama sekali tidak boleh? Apakah hukumnya? Mungkin kebanyakan kita pernah mendengar mengenai masalah ini, mungkin juga tidak. Semoga ianya dapat memberi faedah kepada semua khususnya para muslimah insyAllah. Pertemuan ataupun perjumpaan di antara lelaki dan perempuan tidaklah diharamkan secara mutlak, bahkan harus mahupun dituntut jika tujuannya adalah mulia, memberi manfaat dan menambah amal soleh(seperti menuntu ilmu), membawa kebaikan, dan perkara-perkara yang mana berhajatkan bantuan dan pertolongan dari kedua belah pihak (lelaki dan perempuan) berlandaskan batas-batas, tujuan yang betul dan penguatkuasaan yang berkesan. Walaupun dibolehkan, kita sama sekali tidak mengabaikan batas-batas dan syariat yang telah ditetapkan oleh Islam :
1. Hendaklah menjaga pandangan oleh kedua-duanya (lelaki dan perempuan jangan gatal menjeling-jeling), tidak memandang kepada aurat, tidak juga memandang dengan syahwat, dan tidak memanjangkan pandangan jika tidak berhajat. Allah SWT berfirman : Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat".(30) Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya,(31) An Nuur : 30-31
2. Seorang perempuan hendaklah sentiasa mengenakan pakaian yang disyariatkan dan sopan, menutupi seluruh badannya selain dua tangan dan wajah, tidak jarang (tipis) dan tidak menampak bentuk tubuh, Allah SWT berfirman : dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung kedadanya, ,(31) Surah An Nuur : 31 Dikuatkan lagi daripada para sahabat yang dimaksudkan dengan ‘perhiasan’ ialah dua tangan dan wajah. Allah SWT menjelaskan mengenai pakaian yang sopan, firmanNya : Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak di ganggu. (59) Al Ahzab: 59 Perempuan muslimah yang sopan berbeza pakaian mereka dari perempuan yang semberono perangainya, dia juga tidak berakhlak buruk, dengan itu setiap yang memandang pakaian dan akhlaknya, pasti akan menghormati dan menyeganinya.
3. Sentiasa berakhlak muslimah pada setiap perkara, terutama ketika bermuamalat dengan lelaki :
i. Percakapan, hendaklah menjauhi dari suara yang boleh merangsang dan membangkitkan perasaan, Allah SWT berfirman : Maka janganlah kamu tunduk (yang dimaksud dengan tunduk di sini ialah berbicara dengan sikap yang menimbulkan keberanian orang bertindak yang tidak baik terhadap mereka) dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya (yang dimaksud dengan dalam hati mereka ada penyakit ialah: orang yang mempunyai niat berbuat serong dengan wanita, seperti melakukan zina) dan ucapkanlah perkataan yang baik,(32) Al Ahzab : 32
ii. Berjalan, Allah SWT berfirman : Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan (31) An Nuur : 31 Allah SWT menyifatkan sopan santun seorang perempuan dengan firmanNya : Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang dari kedua wanita itu berjalan kemalu-maluan (25) Surah Al Qashah :25
iii. Pergerakan, tidak berlenggok, seperti yang disifatkan dalam hadith sebagai (berlenggok itu adalah perempuan) dan tidak berhias (tabarruj) seperti yang dilakukan oleh wanita-wanita jahiliyyah dahulu mahupun sekarang.
4. Menjauhi bau-bauan ataupun wangi-wangian yang boleh membuatkan lelaki tertarik dengannya, dan menjauhi juga warna-warna terang dan terlampau menarik yang mana sepatutnya hanya dipakai dirumah bukannya ketika perjumpaan dengan lelaki.
5. Jangan sesekali membiarkan hanya seorang lelaki dan seorang perempuan berjumpa tanpa mahram disisi mereka, ianya ditegah dengan sebuah hadith sahih mengenainya, (Sesungguhnya yang ketiga daripada keduanya ialah syaitan), tidak patut membiarkan api dan kayu bersama (makin ‘terbakar’ la kalau dibiarkan berdua). Yang patut diambil berat juga ialah kaum keluarga terdekat, seperti ayah mertua, ipar dan sesiapa pun yang bukan mahramnya daripada berduaan.
6. Hendaklah sepanjang perjumpaan itu hanya dalam lingkungan hajat (cth: mesyuarat) dan perkara-perkara yang diperlukan, tidak perlu hendak memanjangkan dengan perkara luar dari hajat itu tadi dengan berbual-bual kosong, bergosip-gosipan, ataupun perkara-perkara yang boleh mengabaikan kerja sebenar yang amat suci seorang perempuan, iaitu tanggungjawabnya di rumah dan pertarbiyahan bangsa(anak-anak).
Penuhilah syarat-syarat ini, bukan untuk menyusahkan kita, bahkan demi kebaikan bersama, kerana Allah SWT tahu apa yang terbaik untuk hambaNya yang taat. Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, dengan keyakinan ini, marilah disaat ini kita mula menjadi seorang yang terbaik disisiNya insyAllah.
Wallahu Ta’ala A’lam.
Rujukan : Fatawa Al Mar atul Muslimah oleh Dr Yusuf Al Qardhawi
____________________________
Penulis merupakan mahasiswa UIAM
31 October 2011
Facebook Digodam, Cubaan Menyekat Kemaraan Mahasiswa

26 October 2011
Munajat Keamanan – “Motivasi Perjuangan Menegakkan Kebenaran”
Dengan tidak menafikan kekuatan demonstrasi dalam memberi suatu kesan kepada sesuatu isu, ia tetap juga salah satu pilihan daripada pelbagai pilihan yang ada. Paling penting ialah untuk mengambil tindakan yang bertanggungjawab dan bertanggungjawab dengan tindakan. Kedua-duanya bertitik tolak daripada kefahaman dan kesedaran.Pro-M (WUFI) UIAM merasakan, keputusan SRC untuk mengadakan Munajat Keamanan semalam, walaupun diumumkan melalui Presiden SRC lewat petang, ia adalah suatu tindakan yang tepat, matang dan bertanggungjawab. Hal ini terbukti apabila pengumuman itu disambut dengan sokongan padu oleh mahasiswa UIAM. Kami juga menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan tersebut.
Mengungkap kata-kata salah seorang yang hadir, “Malam munajat keamanan yang diadakan pada malam ini adalah satu malam memotivasikan semangat perjuangan untuk menegakkan kebenaran”. Bersetuju dengan pendapat beliau, kami berbesar hati untuk berkongsi antara perkara yang dinyatakan dalam program tersebut. Antaranya seperti berikut :
Islam menyuruh umatnya menentang sebarang bentuk kezaliman dan kemunkaran. Sekecil-kecilnya dengan membenci di dalam hati sehinggalah kepada sebesar-besarnya dengan memanfaatkan kuasa untuk menegakkan keadilan dan kebenaran. Apa juga caranya, kemunkaran tersebut harus ditentang.
Rasulullah s.a.w. menyeru umatnya supaya membantu orang yang zalim dan orang yang dizalimi. Orang yang zalim dibantu dengan cara diberi nasihat dan teguran, dan jika perlu berdepan dada sekalipun, diizinkan, selagimana tidak mendatangkan mudarat yang lebih besar. Orang yang dizalimi pula dibantu dengan memberi sokongan dan memperjuangkan nasibnya serta mengambil apa juga tindakan supaya tertegak keadilan untuk dirinya.
Nabi s.a.w. telah mengajarkan umatnya dengan suatu doa, “Ya Allah, tunjukkanlah bahawa yang benar itu benar, dan anugerahkanlah kami kekuatan untuk mengikutinya.....”. Ada yang berkata, bukankah telah nyata kebenaran bahawa kebebasan bersuara itu telah diperuntukkan dalam perlembagaan? Ya, itulah apa yang zahir kebenaran disisi manusia. Namun di sisi Allah s.w.t. yang Maha Mengetahui, pelbagai kebenaran lain yang lebih penting dan besar, yang akan Allah s.w.t. tunjukkan kepada hamba-hambanya yang beriman yang berfikir.
Kesatuan atas nama Islam adalah asas perpaduan. Islam menyuruh yang ma’ruf dan mencegah kemunkaran. Menentang kezaliman dan menegakkan keadilan adalah tuntutan amar ma’ruf nahi munkar. Perjuangan menegakkan kebenaran dan menentang kebatilan mestilah dibina dengan kekuatan kesatuan. Tanpa kesatuan, rapuhlah perjuangan.
Selain kesatuan, perjuangan kebenaran mestilah dengan kekuatan jentera. Setiap orang perlu berperanan dan setiap orang bertanggungjawab di posisinya. Di zaman moden ini, agenda penerangan sangat penting. Maklumat yang benar perlu disebarkan dan maklumat yang salah perlu disekat. Asasnya, maklumat-maklumat tersebut mestilah dipastikan dahulu status benar atau salahnya. Untuk itu, pembacaan dan pengkajian daripada pelbagai sumber dan sumber yang diyakini sangat penting. Di sinilah mahasiswa tampil berbeza dengan orang lain, iaitu sikap ‘tabayyun’ dalam menjalankan tugasnya sebagai agen penerangan kepada masyarakat.
Pro-Mahasiswa (WUFI) tetap tegas berpendirian sama dengan SRC dan seluruh warga UIAM, khususnya dalam menuntut pembatalan siasatan terhadap Prof. Aziz Bari.
23 October 2011
Justice For Prof Aziz Bari

21 October 2011
WUFI Kesal Campur Tangan Politik Melampau
Tamparan hebat telah diterima oleh warga kampus akibat daripada penggantungan yang dibuat. Kebebasan akademik telah dipertikaikan, intelektualisme yang diperjuangkan selama ini telah dicabul begitu sahaja. Apa yang mengecewakan, ahli akademik yang menjadi mangsa.
Pada akhir-akhir ini, campur tangan pihak luar ke dalam pengurusan pentadbiran UIAM dilihat semakin menular. Hal ini bermula dengan isu kehadiran Ustaz Azhar Idrus ke dalam UIA, kemudian sekatan terhadap Presiden MPP dalam program HUJAH TV9 bergandingan bersama Rektor dan kemuncaknya kes Prof Abd Aziz Bari yang diambil tindakan penggantungan dan menyebabkan isu ini mendapat respon daripada pelbagai pihak di peringkat nasional.
Justeru, Pro-Mahasiswa (WUFI) berpendirian:
[1] Mendesak supaya pentadbiran UIA membuat penjelasan terhadap kes ini
[2] Mendesak agar penggantungan terhadap Prof Abd Aziz Bari ditarik balik
[3] Bertegas dengan sebarang campur tangan politik luar ke dalam UIA demi menjaga nama baik institusi 'Taman Ilmu dan Budi'
[4] Memberikan kebebasan bersuara dan kebebasan akademik seluas-luasnya tanpa sebarang kepentingan oleh mana-mana pihak
Kami juga berharap agar sebarang tindakan daripada pihak luar mempertimbangkan kondisi semasa mahasiswa UIAM.
Dalam berusaha menuntut keadilan untuk semua, di peringkat kepimpinan mahasiswa melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bersama-sama seluruh pimpinan mahasiswa di segenap kelompok sedang mengatur dan melaksanakan perancangan yang terbaik untuk kebaikan semua pihak. Perkara yang paling penting adalah, kita bukan memperjuangkan kebebasan Prof Abd Aziz Bari semata-mata, bahkan isu yang paling besar adalah kebebasan bersuara dan kebebasan akademik.
Pengerusi
Pro-Mahasiswa (WUFI) UIAM
20 October 2011
HIMPUN: Satu Pandangan

Bismillah walhamdulillah,
22 Oktober, seluruh umat Islam diseru untuk menghadirkan diri ke Stadium Shah Alam untuk menyuarakan bantahan terhadap peningkatan kes-kes murtad yang dilaporkan di Malaysia. Keengganan PAS untuk tidak menyatakan sokongan dilihat sedikit sebanyak menempangkan gerak langkah gabungan NGO ini. Walaupun masih lagi dinaungi oleh para NGO yang lain, namun kegagalan menarik PAS turut sama terlibat dalam HIMPUN ini dilihat bakal memberikan impak yang bukan kecil.
Mengapa HIMPUN? Agaknya, apa perasaan kita, selaku orang Islam, tatkala penganut Buddha beramai-ramai berkumpul menyatakan kebimbangan mereka apabila 'murtad'nya penganut Buddha dengan kembali kepada Islam? Apa jeritan hati kecil kita, tatkala para pendokong Hindu, menyuarakan bantahan dengan berkumpul beramai-ramai, mencela penganutnya yang menganut Islam? Soalnya, mana sensitiviti kita terhadap konsep keharmonian agama yang selama ini kita junjung bersama?
Harus diingat, kita sepatutnya gusar, seandainya golongan yang hadir ke HIMPUN hanyalah mereka yang sudah sebati dengan Islam sekaligus meninggalkan puak-puak yang masih hanyut, jauh di belakang. Target mad'u yang dilihat terlalu terbuka seperti ini dilihat menyukarkan perkembangan dakwah yang sepatutnya menjadi titik permulaan bagi membasmi gejala murtad yang kian membarah di bumi ini. Sasaran utama kita haruslah mereka yang masih tidak sedar gejala murtad yang merebak dalam diam, namun, akan datangkah golongan sebegitu dalam perhimpunan seumpama ini?
Usah menuding jari kepada agama lain. Lihat sendiri, apa yang orang Islam laksanakan untuk menyuburi hati-hati orang Islam? Sebenarnya, di mana kita dalam menangani isu murtad? Berapa banyak bajet dalam belanjawan diperuntukkan untuk menangani gejala sosial dalam kalangan anak muda? Berapa program realiti yang menjarakkan manusia dengan nilai-nilai Islam dihentikan? Berapa konsert-konsert hiburan yang berjaya dibatalkan? Sejauh mana dakwah Islam benar-benar konsisten menyirami hati-hati gersang warga Islam di Malaysia? Berapa banyak gerakan dakwah dijana pada peringkat kerajaan? Cukupkah dengan sekadar penganjur Musabaqah Al-Quran saban tahun? Dan, benarkah kita percaya, dengan HIMPUN, barah murtad bakal sembuh? Berapa ramai non-muslim akan kembali pada fitrah mereka, yakni Islam? Berapa ramai pula orang Islam yang sudah murtad akan insaf, dan bertaubat dengan pulang ke pangkuan Islam?
Saya berpendapat idea HIMPUN, adalah cukup baik. Namun, saya bimbang seandainya dengan HIMPUN, persepsi non-muslim terhadap muslim akan lebih buruk. Mungkin jurang antara agama akan wujud dengan lebih besar selepas ini. Dan secara langsung akan memberi kesan kepada usaha dakwah di bumi Malaysia. Pandangan saya, HIMPUN hanya satu cara, dan kita masih punya beraneka alternatif lain bagi menangani gejala murtad seperti ini. Jangan semakin bezakan kita dengan mereka, jika tidak bagaimana mereka akan menuruti kita? Jadi, saya mohon tampil berbeza.
Muhammad Izzat Ghazali
Mahasiswa Undang-undang UIAM
17 October 2011
Hudud! Biarkan Kartun Berbicara
DARIPADA MAHASISWA UNTUK MAHASISWA
03 October 2011
Harapan mahasiswa pada Bajet 2012 - Iqbal
Secara fokusnya, mahasiswa juga dilihat sebagai salah satu sasaran yang harus diketengahkan dalam pembentangan bajet. Walaupun dalam pembentangan Bajet 2011, sebanyakRM 10.2 billion telah diperuntukkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi, namun dalam konteks realiti mahasiswa, peruntukan tersebut seolah-olah tidak dirasakan kewujudannya dalam bentuk nyata, apatah lagi masalah kenaikan kos sara hidup yang meningkat berpunca daripada keadaan global yang tidak stabil terus-menerus menyebabkan perbelanjaan harian terpaksa dikurangkan terutamanya berkaitan dengan soal makanan, pengangkutan, sewa rumah dan buku-buku pelajaran. Kesannya, terdapat pelajar yang terpaksa bekerja bagi menampung perbelanjaan semasa menyebabkan fokus kepada pelajaran semakin kurang.
Oleh hal yang demikian, suatu strategi yang bersifat jangka pendek dan panjang harus dirangka. Strategi jangka pendek yang bersifat untuk menyelesaikan masalah semasa ialah fokus bagi menstabilkan dan menyelesaikan masalah kenaikan kos sara hidup disebabkan faktor global, manakala strategi jangka panjang pula adalah untuk menstabilkan rantaian dalam konteks masyarakat secara makro.
Dari sudut strategi semasa, yang bersifat jangka pendek iaitu sepanjang tempoh pengajian mahasiswa, masalah yang terpaksa dihadapi oleh golongan ini adalah masalah peningkatan kos sara hidup yang bersifat semasa merangkumi keperluan asas seorang pelajar termasuklah makanan, pengangkutan serta buku teks. Suatu inisiatif perlu diikhtiarkan dalam usaha untuk mengatasi masalah ini. Antara perkara yang dicadangkan adalah berkaitan dengan rasionalisasi subsidi yang dituruti dengan distribusi kepada pihak-pihak yang sepatutnya. Peruntukan subsidi yang telah dirasionalisasikan seharusnya diagihkan kepada masyarakat khususnya kepada golongan pelajar mahupun mahasiswa dalam usaha untuk menyelesaikan masalah peningkatan kos sara hidup. Teknikalnya, peruntukan tersebut mungkin boleh diagihkan melalui pendaftaran di pejabat-pejabat pos atau pihak yang berkaitan sekurang-kurangnya mampu mengurangkan beban dalam konteks sara diri.
Begitu juga, penggunaan pas pelajar juga dicadangkan dapat digunakan secara meluas bagi mendapatkan diskaun untuk pengangkutan dan pembelian buku-buku teks. Walaupun dalam Bajet 2010, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan penggunaan kad diskaun tambang sebanyak 50 peratus bagi pelajar untuk perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), namun, penggunaan kad tersebut dicadangkan digunakan secara meluas termasuklah penggunaan bas awam dan ekspres serta lain-lain.
Selaras dengan hasrat kerajaan untuk membudayakan budaya membaca dalam kalangan masyarakat juga, spesifikasinya golongan mahasiswa, seharusnya galakan untuk membaca dilaksanakan melalui peruntukan khas bagi pembelian buku teks atau buku-buku akademik yang lain. Penggunaan pas pelajar bagi mendapatkan diskaun dalam pembelian buku juga merupakan salah satu usaha yang harus difikirkan dan dimasukkan dalam perancangan dan penelitian Bajet 2012.
Tidak sekadar strategi jangka pendek sahaja difikirkan, strategi jangka panjang juga perlu dirangka secara bersama sebagai pelengkap bagi pakej yang berkaitan dengan konteks pelaburan modal insan ini. Isu berkaitan dengan kenaikan umur persaraan sehingga 60 tahun serta gaji minimum sehingga RM1,500 perlu dilihat dalam konteks yang lebih terkehadapan. Kenaikan umur persaraan sehingga 60 tahun akan mengurangkan bilangan pekerjaan bagi golongan mahasiswa yang keluar daripada universiti. Kesannya, kepakaran pekerja baru melalui proses pelaksanaan kerja melalui pengalaman akan semakin menurun. Impaknya juga, akan berlaku pengangguran dalam tempoh masa yang lama, apatah lagi, antara syarat yang dikenakan oleh syarikat-syarikat kebanyakan menetapkan prioriti terhadap calon temuduga yang mempunyai pengalaman bekerja.
Selain itu, cadangan kenaikan gaji minimum juga harus diperhalusi serta diambil kira dari sudut status hidup bagi membendung kemiskinan Bandar yakni pendapatan yang tidak setara dengan perbelanjaan keperluan asas. Maka, bajet 2012 harus membentangkan strategi yang jelas dalam usaha untuk mengatasi pengangguran dalam kalangan siswazah. Peruntukan pelaksanaan Skim Latihan 1Malaysia yang bertujuan memberikan latihan kepada siswazah belum memberi sebarang jaminan kerja untuk golongan ini sedangkan seharusnya universitilah yang bertindak sebagai penyedia latihan bagi siswazah. Oleh itu, suntikan fiskal harus dilaksanakan oleh pihak berwajib dalam usaha untuk mencipta peluang pekerjaan, bukan sekadar memberikan latihan tanpa penciptaan peluang pekerjaan. Begitu juga, masalah ini makin meruncing apabila mereka terpaksa membayar hutang PTPTN yang harus dilangsaikan sedangkan mereka masih belum lagi mempunyai pekerjaan.
Justeru, bajet 2012 harus memberi penekanan kepada aspek strategi jangka masa pendek dan panjang dalam usaha untuk mengatasi masalah peningkatan sara hidup khususnya golongan mahasiswa serta mengurangkan masalah pengangguran dalam kalangan siswazah. Modal insan yang telah dicipta tetapi tidak dimanfaatkan kerana kekurangan penciptaan peluang kerja hanya akan menyebabkan berlakunya proses pembaziran tenaga manusia dalam negara.
02 October 2011
Respon Ma'ruf Club Berkenaan Ustaz Azhar Idrus di UIAM
Alhamdulillah, kami di pihak Ma’ruf Club amat bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana dengan izinNya, niat untuk membawa seorang tokoh pendakwah tersohor ke bumi UIAM dimakbulkan oleh Allah s.w.t. Walaupun terdapat sekatan dan halangan yang pelbagai daripada pihak yang tidak bertanggungjawab, program tersebut tetap dapat diadakan dan mencapai maksud/tujuan ia diadakan.
01 October 2011
UAI di UIA: 'Tangan Jahat' Mengganggu Program
Assalamualaikum & salam mahasiswa,
Alhamdulillah, seinfiniti kesyukuran kepada Allah atas rezekiNya yang melimpah-limpah untuk hambaNya. Malam Jumaat bertarikh 30 September menjadi sejarah bagi mahasiswa UIAM apabila kehadiran lebih kurang 4000 ke majlis kuliah Ustaz Azhar Idrus mendapat sambutan yang hangat. Fenomena Ustaz Azhar Idrus telah menarik Persatuan Mahasiswa Terengganu untuk merisik beliau sejak bulan Februari yang lepas lagi.
Dengan kerjasama kelab yang giat dalam aktiviti dakwah, Ma'ruf Club, program ini diluluskan oleh pihak pentadbiran UIAM pada awal semester ini. Masjid SHAS UIAM bakal menjadi sasaran mahasiswa bahkan seluruh masyarakat dan peminat Ustaz Azhar Idrus daripada seluruh negara. Promosi digiatkan di masjid-masjid sekitar Gombak menghebahkan kedatangan seorang ulama terkenal ke Masjid UIAM.
Sehari sebelum program, pihak Ma'ruf Club dikejutkan dengan penarikan balik kelulusan tempat program iaitu Masjid SHAS yang boleh memuatkan 6000 orang. Dalam masa berbaki, pihak pentadbiran UIAM cuba membantu dan hanya meluluskan tempat di Experimental Hall yang mampu memuatkan seramai 300 orang. Berita tersebar dengan cepat di alam maya Facebook menyebabkan mahasiswa mula tidak berpuas hati.
Bagi kami Pro-Mahasiswa (WUFI), perkara sebegini seolah-olah telah menjatuhkan institusi masjid sendiri apabila menyekat seorang pendakwah profesional untuk berada di masjid menyampaikan kuliahnya. Namun, mahasiswa perlu berhati-hati dalam menghukum dan meletakkan pendirian.
Beberapa jam sebelum program, dikhabarkan pimpinan Ma'ruf Club melalui Presiden, saudara Mohd Eikhwan Ali dengan kerjasama Exco MPP, saudara Fitry Hussin telah cuba berusaha untuk berjumpa dengan Puan Rektor bagi memohon rayuan supaya dibenarkan berkuliah di masjid. Namun, Puan Rektor tiada di pejabat.
1. Mahasiswa jangan cepat menghukum khususnya terhadap pihak Rektor UIAM dan Direktor Masjid SHAS kerana mereka telah ditekan oleh 'tangan jahat', kami mendoakan agar pihak UIAM diberikan pertolongan untuk berhadapan dengan mereka
3. Mereka juga perlu waspada kerana mengkhianati ulama adalah mengkhianati pewaris Rasulullah (selawat dan salam ke atasnya) selaras dengan sabda Rasulullah (selawat dan salam ke atasnya), "Ulama adalah pewaris Anbiya"
4. Kerajaan 'tangan jahat' ini mesti faham, mereka boleh menyekat masjid, mereka boleh mengganggu program, mereka juga boleh menangkap sesiapa sahaja tetapi mereka tidak boleh menghalang idealism anak muda yang lebih intelek
5. Mahasiswa bersedia menghadapi PRU-13
Justeru, saya mewakili Pro-Mahasiswa (WUFI) mengajak seluruh rakan mahasiswa untuk bersatu dalam isu ini menyahut seruan Allah dalam Al-Quran yang bermaksud, "Bertolong-tolonglah dalam perkara kebaikan dan Taqwa". Kami menyokong penuh usaha pihak Ma'ruf Club yang bertungkus-lumus dalam menjayakan program ini. Tidak lupa juga kepada One Heart Creative Solution yang sudi menaja program Kuliah Ustaz Azhar Idrus.
"We Unite For Islam"
Muhammad Hafizuddin MN
Pengerusi Pro-Mahasiswa (WUFI) UIAM
27 September 2011
Speaker Corner: Wake Up Your Mind
DARIPADA MAHASISWA UNTUK MAHASISWA
31 August 2011
Selamat Hari Kemerdekaan Ke-54
Kita mencari hanya yang tulen dan jati
sekadar hidup mengerti dan berbudi
dan bumi akan subur, makmur dan mewah
jika kita bekerja dan berikrar hidup bersama
tanah air memberi banyak
mesra mendakap kita
kemerdekaan mendorong kita berdiri dan berbakti
dan dalam alaf baru
semangat kita wajar padu berjalan kita
atas nama tanah air dan bangsa
bangga kerana merdeka
megah kerana bahagia.
S.N. A. Samad Said
10 August 2011
Selamat Datang Rektor Baru
Beliau bukanlah orang baru di UIAM kerana pernah berkhidmat sebagai Dekan di Ahmad Ibrahim Kuliyyah of Law (AIKOL). Berkelulusan daripada Universiti London dalam Ijazah Kedoktoran Undang-undang, beliau pernah bertugas di Intitut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) selama 2 tahun.
Anak kelahiran Raub, Pahang ini pernah memegang Timbalan Dekan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Timbalan Dekan Pusat Penyelidikan di UIAM. Kebanggaan Rektor baru ini juga tidak dapat dinafikan apabila mendapat Anugerah Tokoh Pendakwah peringkat negeri Selangor pada 2009.
Mahasiswa UIAM sangat berbangga mendapat seorang pemimpin di peringkat atasan yang mempunyai latar belakang dakwah yang tinggi. Kami berharap Prof Dato Dr Zaleha dapat memimpin masyarakat UIAM khususnya untuk bersama-sama merealisasikan misi dan visi UIAM khususnya dalam mengislamisasikan kampus tercinta.
Klik di sini untuk maklumat lanjut tentang Prof Dato Dr Zaleha.
Selamat Datang Prof Dato Zaleha daripada kami, Pro-Mahasiswa (WUFI) UIAM.
03 August 2011
Mahasiswa: Najib Alih Isu Tuntutan Bersih 2.0
KUALA LUMPUR: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) berpendapat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak cuba mengelak untuk menjawab isu tuntutan Bersih 2.0, ketika persidangan Tahunan Pemimpin Pelajar Malaysia ke-5 baru-baru ini.
Ketika ditanya mahasiswa, Najib berkata beliau tidak pernah menawarkan Stadium Merdeka kepada peserta himpunan Bersih 9 Julai lalu, sebalik hanya membenarkan Stadium Shah Alam digunakan.
“Isu lapan tuntutan yang lebih penting. Kemahuan mahasiswa adalah melihat negara demokrasi dan menjalani proses pilihanraya telusk, bukannya isu berhimpun di stadium yang dibangkitkan lagi,” kata Sekretariat Media SMM, Ahmad Shukri Kamarudin kepada Keadilandaily.
“Anak muda kini tahu aliran dan realiti sebenar dan (maklumat) sudah banyak terdedah di media sosial, malah media alternatif semakin dijadikan panduan,” katanya.
Lapan tuntutan Bersih ialah pembersihan daftar undi, mereformasi undi pos, penggunaan dakwat kekal, kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, memperkukuh institusi awam, menghentikan rasuah dan politik kotor.
Keengganan kerajaan membenarkan perhimpunan anjuran gabungan itu diadakan di Stadium Merdeka, menyaksikan lebih 1,600 ditangkap dan ratusan lagi cedera, apabila polis bertindak ganas.
Sementara itu, Yang di Pertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Mohd Iqbal Abdul Wahab pula berkata, jawapan yang diberikan Najib membuktikan sikapnya yang suka berdolak dalik.
Ini kerana katanya, umum mengetahui Najib membenarkan penggunaan sebuah stadium untuk perhimpunan itu diadakan tanpa merujuk kepada mana-mana stadium.
Beliau yang hadir dalam persidangan mahasiswa tersebut menyifatkan Najib sebagai tidak konsisten dengan ucapannya.
“Kami dengar, senyum dan takkan terima bulat-bulat,” katanya ketika dihubungi Keadilandaily.
Menurut Iqbal, beliau yakin mahasiswa kini tidak mudah percaya dan bijak menilai kebenaran. Ini kerana katanya, maklumat yang diterima dan apa yang dibentangkan kepada mereka, akan dikaji terlebih dahulu.



