Selamat berjaya kepada semua calon Pro-Mahasiswa kampus-kampus yang bertanding hari ini . Dijangka banyak kampus yang mengadakan pilihanraya pada hari ini . Jadi , Pro-M UIAM mendoakan kemenangan kalian .
Semoga demokrasi kampus terus dibela .
KUALA LUMPUR 25 Jan. - Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) pada 21 Januari lalu menyaksikan calon-calon pro aspirasi menguasai gelanggang pilihan raya yang berlangsung secara aman tanpa sebarang provokasi.
Seramai 13 calon daripada kumpulan itu memenangi kerusi yang dipertandingkan di Kampus Gombak dan juga satu kerusi di Kampus Kuantan.
Sementara itu, tiga fakulti diisytiharkan menang tanpa bertanding iaitu Undang-Undang dan Seni Bina di Kampus Gombak serta Pergigian di Kuantan.
Sebanyak 59 peratus kehadiran pengundi dicatatkan apabila seramai 6,938 mahasiswa keluar menunaikan tanggungjawab daripada sejumlah 11,760 yang layak mengundi.
Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UIAM, Profesor Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, jumlah pelajar yang keluar mengundi pada tahun ini menunjukkan sedikit penurunan berbanding 66 peratus kehadiran tahun lalu.
Beliau berkata, tarikh pilihan raya kampus yang hampir dengan cuti pertengahan semester mungkin menyebabkan ramai pelajar mengambil kesempatan untuk pulang ke rumah lebih awal.
Tambahnya, buat kali pertamanya dalam MPP, seorang mahasiswa kurang upaya (OKU) dan bukan Islam dipilih untuk mewakili suara mahasiswa.
Biarpun begitu katanya, penyertaan yang diterima daripada mahasiswa antarabangsa tidak begitu menggalakkan apabila sekadar cukup memenuhi kuota kerusi yang dipertandingkan.
"Calon yang bertanding kebanyakannya memperjuangkan isu-isu yang berkaitan dengan hal ehwal kebajikan pelajar di universiti.
"Apa pun, saya berpuas hati dengan perjalanan pilihan raya itu yang berlangsung secara aman," katanya ketika ditemui sewaktu pilihan raya kampus berlangsung, baru-baru ini.
Menurut Nik Ahmad Kamal, seramai 42 calon bertanding untuk pemilihan pada kali ini bagi merebut 29 kerusi.
"Calon yang menang dijangka membentuk barisan kepimpinan MPP yang baru dalam tempoh satu atau dua minggu selepas keputusan diumumkan," katanya.
Calon daripada Fakulti Ilmu Wahyu dan Warisan, Zatil Arifah Mohd. Amin yang memperoleh undian tertinggi iaitu 1,309 undi berkata, dasar yang ingin diperjuangkan adalah mengetengahkan konsep kebajikan pelajar.
Selain itu katanya, beliau juga mahu berusaha mendekatkan pihak pengurusan universiti dengan mahasiswa.
Sementara itu, seorang lagi calon dari fakulti yang sama dan mendapat undian kedua tertinggi, Noor Yusri Wahi Anuar juga mahu menjadikan kebajikan pelajar sebagai fokus utama perjuangannya.
"Saya telah berbincang dengan rakan lain untuk membawa konsep universiti 1Ummah di mana kebajikan mahasiswa termasuk atlet kampus akan dibela," katanya.
Sementara itu, calon yang tewas pada pemilihan itu, Nursyahidah Ahmad dari Fakulti Teknologi Maklumat Dan Komunikasi (ICT) berkata, kekalahan itu tidak akan melemahkan semangatnya malah bakal menjadi pemangkin untuk terus berjuang.
"Semoga para pemenang dan yang tewas akan tetap bekerjasama dalam memastikan agenda pembangunan pelajar dapat ditingkatkan," ujarnya.
Seorang lagi calon, Mohd. Habibudin Ahmad turut berjanji membantu rakan-rakan MPP dalam melaksanakan pembangunan UAIM walaupun gagal menduduki barisan kepimpinan.
"Walaupun tewas, saya bersyukur kerana masih mendapat sokongan daripada rakan-rakan dalam memperjuangkan aspirasi mahasiswa UIAM," katanya.
Di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pula, kumpulan pro mahasiswa berjaya memulakan 'era baru' MPP apabila menguasai 11 daripada 12 kerusi yang dipertandingkan.
Kumpulan itu menundukkan penguasaan pro aspirasi dalam empat sesi pengajian melibatkan empat fakulti iaitu Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan serta Fakulti Pengajian Maritim dan Sains Marin.
Beliau berkata, pilihan raya kampus (PRK) yang dijalankan di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) mutakhir ini didakwa telah tercemar menerusi campurtangan Umno sekali gus hal itu membangkitkan rasa kurang senang dalam kalangan pelbagai pihak.
Bagi saya cukuplah segala kejahatan dan penipuan yang dilakukan oleh pentadbir dan Umno ini. Marilah sama-sama kita bebaskan semua institusi dari kongkongan politik.
Assalamualaikum & salam mahasiswa ,
The Malaysian Insider
KUALA LUMPUR, Jan 26 — Pilihan raya kampus universiti awam Khamis ini, melibatkan lapan pusat pengajian tinggi, menyaksikan kempen meraih undi turut melibatkan Sudut Pidato, julung kali diperkenalkan semula selepas tiga dekad diharamkan.
Kemudahan Sudut Pidato dilihat sebagai “trend baru” untuk mahasiswa mengemukakan pendirian mereka dalam kempen pilihan raya kali.
Bagaimanapun ada pelajar yang mendakwa ia tidak begitu berkesan dari segi masa dan lokasi kedudukan Sudut Pidato.
Mereka lebih berminat untuk menemui pengundi kalangan pelajar secara bersemuka daripada bergantung penuh terhadap kemudahan Sudut Pidato.
“Bagi kami di UKM, sudut pidato tidak efektif, contohnya di UKM ia terletak di kawasan belakang perpustakaan... jadi ia bukan kawasan strategi untuk berkempen.
“Jadi, tumpuan kami ialah kafe dan ruang legar fakulti seperti dulu,” katanya.
Malah ada calon yang bertanding merungut masa yang diberikan lima hingga 10 minit tidak mencukupi untuk mengemukakan pendirian sebagai calon yang bertanding.
Di samping itu, ada pelajar yang mendakwa wujudnya usaha sabotaj calon dari kumpulan tertentu daripada menggunakan Sudut Pidato.
Pada awalnya ramai yang teruja apabila Sudut Pidato diwujudkan semula di universiti.
Aktiviti yang telah diharamkan kira-kira tiga dekad lalu melalui Akta Universiti Kolej Universiti 1971 buat julung kali diwujudkan semula di UKM dua minggu lalu.
Ia dilancarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Pengerusi kumpulan Pro-Mahasiswa Shahfie Hashim mengakui bagi sebahagian besar pelajar Sudut Pidato adalah sesuatu yang baru.
“Bagaimanapun UM sudah menggunakan Sudut Pidato untuk calon pilihan raya berkempen sejak tahun lalu... oleh itu bukan sesuatu yang baru bagi kami di UM.
“Namun kami berpendapat bahawa Sudut Pidato ini kalau melibatkan ramai, khalayak yang ramai memang menarik,” kata Shafie ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Kira-kira 80,000 pelajar melibatkan lapan universiti awam akan mengundi pada pilihan raya kampus serentak Khamis ini, satu keadaan yang agak berlainan berbanding sesi pengajian lalu.
Pusat pengajian terbabit ialah UM, UKM, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Universiti Malaysia Pahang, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Universiti Malaysia Kelantan.
Perkembangan itu dijangka memberi impak ke atas keputusan pemilihan kali ini.
Setakat penamaaan calon semalam, kumpulan Pro-Aspirasi telah menang di USM dan UPSI.
Di UPSI, kumpulan Pro-Mahasiswa hanya bertanding di lapan daripada 25 kerusi manakala di USM pula pihaknya hanya meletakkan empat daripada 26 kerusi MPP.
Ia dilihat sebagai laluan mudah kepada kumpulan Pro-Aspirasi.
Dengan perkembangan setakat semalam, kumpulan Pro-Mahasiswa telah menguasai tiga IPTA termasuk Kolej Universiti Sains Islam Selangor manakala dua memihak kepada kumpulan Pro-Aspirasi.
Di UKM, kumpulan Pro-Mahasiswa dan Pro-Aspirasi bertanding di kesemua 35 kerusi MPP manakala di UPM, kumpulan Pro-Mahasiswa bertarung di 33 daripada 48 kerusi.
Bagaimanapun ia telah memenangi satu kerusi tanpa pertandingan di UKM berbanding empat pada sesi pengajian lalu.
Kumpulan Pro-Mahasiwa bertanding di 33 daripada 41 kerusi MPPUM dan di UTM pula ia bertarung di 37 daripada 46 kerusi dipertandingkan.
Sumber : The Malaysian Insider
DARI MAHASISWA UNTUK MAHASISWA
Sesiapa yang berminat untuk berkongsi atau menerbitkan artikel untuk blog Pro-Mahasiswa UIAM ini , boleh berbuat demikian dengan menghantar artikel tersebut ke promahasiswauiam@
Kami sangat mengalu-alukannya.
DARIPADA MAHASISWA UNTUK MAHASISWA